latest

Al Quran Dan Alam Sekitar

Pada setiap 17 Ramadan kita akan menyambut Hari Nuzul Al Quran, yakni hari diturunkan Al Quran kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW. Perkataan 'nuzul' membawa maksud turun atau berpindah dari atas ke bawah.

Peristiwa Nuzul Al Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Muhammad ketika baginda sedang beribadat di Gua Hira. Oleh kerana ia berlaku sebelum permulaan tahun Hijrah, maka dari pengiraan tahun Masihi ianya berlaku pada 610M atau 1,414 tahun Masihi yang lalu.

Al Quran yang diturunkan berperingkat adalah mukjizat terbesar Muhammad justeru ia juga memberi pengertian dan panduan yang besar kepada umat Islam. Relevannya Al Quran malar sepanjang zaman dan ini terbukti bagaimana kitab suci ini boleh dirujuk dalam kita merungkai permasalahan dunia masa kini.

Salah satu contoh bagaimana Al Quran boleh dirujuk dalam kita berdepan dengan krisis moden ialah apabila membicarakan isu alam sekitar.

Persoalan alam sekitar terkait pencemaran atau kelestarian tentu sekali tidak pernah timbul lebih seribu tahun yang lampau ketik Al Quran pertama kali diturunkan, namun kalam Allah itu telah pun terlebih dahulu mencatatkan kepentingan alam sekitar dan peranan manusia sebagai khalifah di muka bumi dalam menjaga dan mengurus alam.

Al Quran telah menegaskan bagaimana setiap makhluk yang hidup di atas muka bumi ini perlu dilindungi dan tidak boleh dimusnahkan dengan sewenangnya. Firman Allah SWT:

Tidakkah engkau mengetahui bahawasanya Allah (Yang Maha Esa dan Maha Kuasa) sentiasa bertasbih kepadaNya sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi serta burung-burung yang terbang berbaris di angkasa? Masing-masing sedia mengetahui (menurut keadaan semulajadinya) akan cara mengerjakan ibadatnya kepada Allah dan memujiNya; dan Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka lakukan. (Al-Nur:41)

Ayat ini menyatakan bahawa setiap makhluk yang hidup bertasbih kepada Yang Esa dan mengerjakan ibadatnya serta memujiNya mengikut keadaan semulajadinya. Oleh itu sebarang bentuk penindasan atau penganiayaan ke atas makhluk, baik flora atau pun fauna adalah ditegah dan perlu dihukum.

Selain dari menegaskan hubungan alam dan Pencipta, Al Quran juga turut menyentuh hubungan manusia selaku khalifah dan alam yang didiaminya. Firman Allah SWT:

Tidakkah engkau memerhatikan, bahawa Allah menurunkan hujan dari langit, lalu dialirkanNya menjadi matair-matair di bumi; kemudian Ia menumbuhkan dengan air itu tanaman-tanaman yang berbagai jenis dan warnanya; kemudian tanaman-tanaman itu bergerak segar (hingga ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatmu berupa kuning; kemudian Ia menjadikannya hancur bersepai? Sesungguhnya segala yang tersebut itu mengandungi peringatan yang menyedarkan orang-orang yang berakal sempurna. (Al-Zumar:21)

Ayat ini dengan jelas menyeru manusia untuk melihat kitaran kehidupan dan memahami bahawa tidak ada yang kekal selamanya. Bagi mereka yang sempurna akal, apa perlu kita fahami ialah manusia selaku khalifah mempunyai tanggungjawab besar menjaga dan mengurus alam serta tidak berlaku boros dan lalai dalam menggunakan sumber yang ada.

Al Quran juga turut menyentuh tentang simbiosis manusia dan bumi, satu-satunya rumah yang kita diami di alam fana ini. Firman Allah SWT:

Dan Allah telah menumbuhkan kamu (hidup dari benda-benda yang berasal) dari bumi, dengan pertumbuhan yang sungguh-sungguh sempurna. Kemudian Ia mengembalikan kamu ke dalam bumi (sesudah mati), dan mengeluarkan kamu daripadanya (sesudah dihidupkan semula untuk dihitung amal kamu dan diberi balasan), dengan pengeluaran yang sesungguh-sungguhnya? Dan Allah telah menjadikan bumi bagi kamu sebagai hamparan. Supaya kamu melalui jalan-jalan yang luas padanya. (Nuh:17-20)

Ayat ini jelas menuntut kepada keharmonian dan pertalian erat antara manusia dan bumi. Ia bermula dari peringkat pengambilan manfaat daripada alam melibatkan soal jasmani, kepada perenungan terhadap alam melibatkan soal akal dan akhir sekali kecintaan terhadap alam melibatkan aspek rohani.

Sebagaimana Al Quran menggariskan panduan dan pedoman terhadap hubungan alam dengan Pencipta dan alam dengan manusia, kitab suci ini juga turut menyentuh hal kerosakan yang dicetus oleh manusia ke atas alam di kemudian hari.

Firman Allah SWT:

(Iaitu) orang-orang yang merombak (mencabuli) perjanjian Allah sesudah diperteguhkannya, dan memutuskan perkara yang disuruh Allah supaya diperhubungkan, dan mereka pula membuat kerosakan dan bencana di muka bumi. Mereka itu ialah orang-orang yang rugi. (Al-Baqarah:27)

Allah melarang manusia dari melakukan kerosakan dan bencana di muka bumi, dan disamakan dengan mereka yang mencabuli perjanjian Allah atau ingkar pada suruhanNya.

Allah SWT turut berfirman:

Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan. (Al-Qasas:77)

Sebagaimana Allah memberikan nikmatNya yang melimpah kepada kita, begitu jugalah kita sebagai khalifah di muka bumi perlu berbuat baik sesama makhluk lain dan mengelak dari melakukan kerosakan di muka bumi.

Sebaliknya, lama sebelum idea-idea tentang penjagaan dan kelestarian alam dijadikan amalan sedunia, Al Quran telah terlebih dahulu menuntut agar kita memakmurkan bumi dan alam sekitar. Firman Allah SWT:

Dia lah yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi, serta menghendaki kamu memakmurkannya. (Hud:61)

Sesungguhnya tuntutan menjaga dan melindungi alam sekitar adalah sangat dititikberatkan dalam Islam. Seruan-seruan yang terkandung dalam Al Quran seharusnya menjadi iktibar buat kita semua dalam mensyariatkan keseimbangan alam dan seluruh hidupannya dari kemusnahan atau kepupusan demi kelangsungan ekosistem.

Manusia sebagai khalifah berperanan besar dalam melaksanakan tuntutan Allah terkait soal alam sekitar dan untuk mencegah dari melakukan kemungkaran di atas muka bumi.

Bersempena Hari Nuzul Al Quran ini, marilah kita kembali merenung kepada tuntutan penjagaan alam sekitar yang terkandung di dalam Al Quran.

Akhir kalam, firman Allah SWT dalam Surah Al-Isra' ayat 70 perlu kita jadikan pedoman:

Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.
Author image
Demokrat sosial yang percaya bahawa melindungi alam sekitar adalah tindakan demokratik dan sosialis yang tidak boleh diabaikan.
You've successfully subscribed to Kapten Bumi
Great! Next, complete checkout for full access to Kapten Bumi
Welcome back! You've successfully signed in.
Unable to sign you in. Please try again.
Success! Your account is fully activated, you now have access to all content.
Error! Stripe checkout failed.
Success! Your billing info is updated.
Error! Billing info update failed.