Pilihan raya umum (Pemilu) 2024 Indonesia sedang dalam proses pengiraan undi. Keputusan rasmi Pemilu 2024 akan diumumkan Komisi Pilihan Raya Umum (KPU) pada 20 Mac nanti. Kini, kiraan undi hanya bergantung kepada hitungan cepat badan kaji selidik atau lembaga survei dalam menganalisis trend pengundi Indonesia.
Pemilu kali ini cukup penting buat warga Indonesia. Perdebatan dan perbincangan terbuka calon presiden dan naib presiden menjurus kepada soal masa depan negara menuju Indonesia Emas pada 2045, yakni satu gagasan dan visi yang dicetuskan oleh Presiden Joko Widodo (Jokowi).
Selain daripada perdebatan dasar berkenaan pembangunan infrastruktur, ekonomi dan usaha menegakkan keadilan sosial, isu mengenai perubahan iklim dan transisi tenaga boleh baharu merupakan topik yang cukup signifikan kepada pengundi bagi Pemilu 2024, khususnya dalam kalangan Generasi Z (Gen Z) dan millennial Indonesia.
Perkara ini amat menarik kerana isu perubahan iklim ini adalah satu topik yang jarang disentuh oleh ahli politik sebagai dasar untuk ditawarkan kepada pengundi, khususnya di Asia Tenggara. Namun, Pemilu 2024 telah mengubah persepsi ini dengan membawa isu alam sekitar untuk diperdebatkan calon presiden dan naib presiden.
Terdapat dua perkara yang membuatkan topik ini penting. Pertama, terdapat kesedaran bahawa bakal presiden menggantikan Jokowi perlu mempunyai komitmen menjaga hasil bumi dan alam sekitar Indonesia yang pelbagai. Kedua, terdapat kebimbangan dalam kalangan rakyat, termasuk orang muda, tentang penurunan biodiversiti dan alam sekitar ke atas khazanah bumi Indonesia.
Pada 19 Januari 2024, saya dan beberapa rakan sempat menghadiri dialog di Perpustakaan Nasional Indonesia (PNI) di Jakarta bertajuk “Perubahan Iklim dan Transisi Energi Berkeadilan” yang dianjurkan Akademi Ilmu Pengetahuan Indonesia (AIPI) dengan kerjasama PNI. Panelis dijemput terdiri daripada juru cakap dasar bagi ketiga-tiga pasukan calon presiden dalam dan perubahan iklim, alam sekitar dan pemberdayaan digital.
Forum ini dianjurkan AIPI sebagai satu dorongan untuk meningkat diskusi awam menuju kepada debat calon naib presiden berkenaan Pembangunan Berkelanjutan, Sumber Daya Alam, Lingkungan Hidup, dan Energi pada 21 Januari 2024 yang dianjurkan oleh Komisi Pilihan Raya Umum (KPU).
Pasukan calon Anies Baswedan - Muhaimin Iskandar diwakili Sudirman Said, bekas Menteri Perubahan Iklim dan Sumber Asli, Pasukan Ganjar Pranowo - Mahfud MD diwakili Heru Dewanto, seorang pakar ekonomi Indonesia, dan Pasukan Prabowo Subianto - Gibran Rakabuming Raka diwakili Budiman Sudjatmiko yang merupakan pakar dalam digitalisasi dan Artificial Intelligence (AI).
Ketiga-tiga panel ini perlu membahaskan tajuk spesifik diskusi iaitu “Mewujudkan Transisi Energi Berkeadilan pada Pemerintahan Baru, 2024-2029”. Mengapa ada perkataan ‘keadilan’ dalam membicarakan isu ini?
Perbincangan ini meletakkan satu pemikiran bahawa peralihan tenaga dan perubahan iklim adalah satu aspek yang penting buat semua lapisan masyarakat, bukan sekadar pemain industri semata-mata. Dasar yang menyentuh aspek ini perlu melihat peluang meningkatkan kesejahteraan hidup golongan berpendapatan rendah.
Ini juga platform untuk masyarakat khususnya anak muda untuk mendapatkan penjelasan dan membangkitkan pertanyaan visi dan dasar yang ditawarkan bagi setiap calon presiden dan naib presiden dalam mengangkat agenda perubahan iklim dan peralihan tenaga jika diberi peluang memerintah Indonesia.
Antara isu yang dibincangkan ketiga-tiga panel yang mencuri tumpuan audiens adalah usaha memperluaskan inovasi dalam peralihan tenaga boleh baharu di kawasan kampung atau desa sebagai alternatif kepada tenaga elektrik.
Kesemua panel bersetuju bahawa isu ini mencabar kerana infrastruktur dan kemudahan di kawasan desa masih terhad seperti panel fotovoltaik solar (PV). Pasaran desa yang kecil juga menyebabkan pemain industri tidak berminat untuk melaksanakan program peralihan tenaga boleh baharu di kawasan pedalaman.
Tetapi, kesemua panel bersetuju bahawa peningkatan teknologi peralihan tenaga baharu di desa dapat meringankan beban komuniti untuk membayar tarif elektrik yang mahal dan kesukaran mendapat akses bekalan elektrik. Mereka juga percaya, kawasan desa adalah paling strategik kerana ekosistemnya lebih segar dengan kesegaran alam sekitar jika dibandingkan kawasan bandar.
Pak Budiman menjelaskan bahawa pemerintah yang akan datang perlu membuat pelaburan signifikan untuk membantu rakyat di kawasan desa menikmati peralihan tenaga boleh baharu dengan membentuk satu sistem pengagihan tenaga boleh baharu yang lebih cekap di kawasan desa. Pak Heru yang mewakil Ganjar – Mahfud turut melihat kepentingan membina model perniagaan yang mapan untuk memastikan kerjasama industri dan komuniti desa dalam melaksanakan peruabahan ini.
Pak Sudirman pula mencadangkan agar program menghantar pakar STEM terbaik di Indonesia ke kampung-kampung yang pernah dilaksanakan Presiden Jokowi perlu diteruskan untuk mendidik komuniti dan membantu kerajaan membina infrastruktur tenaga boleh baharu dengan lebih cekap.
Apa yang lebih menarik, auditorium di PNI dalam program ini dipenuhi dengan kehadiran anak muda dan ahli akademik yang mengambil kesempatan untuk mengkritik dan mempersoal idea yang dibawa ketiga-tiga panel.
Perkara ini cukup unik kerana golongan anak muda di Indonesia, melalui pendidikan di peringkat menengah atas dan universiti, cukup memahami akan kepentingan perubahan iklim dan sumber tenaga baharu ini dengan cukup baik. Lebih menarik lagi, kebanyakan universiti di Indonesia telah membangunkan jabatan atau fakulti khusus yang menyentuh tentang perubahan iklim dan peralihan tenaga boleh baharu.
Amat jelas sekali persepsi yang menyatakan isu perubahan iklim dan peralihan tenaga tidak penting untuk diperdebatkan ahli politik sama sekali tidak tepat. Oleh itu, tidak salah jika pemimpin dan rakyat Malaysia mula mengambil iktibar untuk peduli akan isu-isu perubahan iklim dan peralihan tenaga, khususnya memulakan budaya debat dan diskusi secara terbuka seperti Pemilu 2024.
Perbincangan perubahan iklim di Malaysia harus berakar kepada rakyat dan tidak seharusnya berada dalam zon syok sendiri yang bersifat elit tanpa mengajak rakyat untuk melihat kepentingannya. Indonesia sudah mula membincangkan konsep keadilan dalam peralihan tenaga baharu. Tetapi, adakah Malaysia membincangkan konsep yang sama? Nampaknya, masih jauh lagi.
Persoalannya, sejauh manakah ahli politik Malaysia bersedia untuk membincangkan isu alam sekitar dan perolehan tenaga baharu ini? Apakah kita akan melihat ahli politik pelbagai parti membahaskan isu ini pada pilihan raya akan datang?
Sama-sama kita saksikan.