latest

Captain Planet: Adiwira Yang Mendahului Zaman

Jika anda lahir sekitar penghujung 1970-an atau awal 1980-an, berkemungkinan besar anda mengenali siri animasi Captain Planet (and the Planeteers) yang bermula siaran pada tahun 1990 hingga 1996.

Bagi saya, Captain Planet adalah siri animasi terbaik kerana ianya mendahului zaman.

Kenapa saya katakan begitu?

Di saat ketika kebanyakan siri animasi adiwira menonjolkan pertembungan kuasa baik dan jahat hanya kerana si penjahat sengaja mahu melakukan kejahatan sewenangnya dan kuasa baik pula dibebankan dengan tanggungjawab menentang kejahatan, Captain Planet tampil dengan penedekatan berbeza.

Dalam siri animasi Captain Planet, alam sekitar diangkat sebagai tema utama. Adiwira bernama Captain Planet dan pembantunya Planeteers bertanggungjawab mempertahankan planet Bumi dan alam sekitar dari kemusnahan yang dicetuskan oleh si penjahat.

Captain Planet digambarkan sebagai adiwira yang diseru oleh kesemua lima Planeteers menggunakan cincin sakti yang dipakai mereka. Captain Planet muncul dalam bentuk avatar berkulit biru dan rambut mullet, mempunyai kesaktian yang terdiri dari gabungan elemen kesemua lima Planeteers selain keupayaan untuk terbang dan kuasa manusia luar biasa.

Lima Planeteers yang berupaya menyeru Captain Planet pula terdiri dari lima remaja yang diberikan cincin sakti oleh Gaia, semangat Bumi yang terjaga dari lena pada lewat abad ke-20 dan terkejut melihat pencemaran yang berlaku di Bumi.

Para Planeteers ini terdiri dari Kwame, remaja lelaki dari Afrika yang cincinnya menguasai elemen Bumi, Wheeler, remaja lelaki dari Amerika Syarikat yang cincinnya menguasai elemen api, Linka, remaja perempuan dari Kesatuan Soviet yang cincinnya menguasai elemen angin, Gi, remaja perempuan dari Asia yang cincinnya menguasai elemen air dan Ma-Ti, remaja lelaki dari Amerika Selatan dengan cincin yang menguasai hati (heart).

Captain Planet dengan sokongan Planeteers berlima perlu menghalang komplot kejahatan yang diusahakan oleh penjahat dalam siri animasi tersebut. Setiap penjahat yang ditonjolkan pula berkait rapat dengan tema pencemaran atau sikap manusia yang menjejaskan alam sekitar.

Antaranya Hoggish Greedly yang menyerupai babi dan menampilkan sifat tamak haloba mewakili penggunaan melampau manusia terhadap sumber semulajadi, Verminous Skumm yang menyerupai tikus dan mewakili hawar atau penyakit berjangkit, Duke Nukem yang menyerupai mutan dan mewakili penyalahgunaan tenaga nuklar dan pencemaran radioaktif, dan juga Dr. Barbara Blight seorang saintis gila yang mewakili bahaya teknologi tidak terkawal dan eksperimen sains tidak beretika.

Setiap episod Captain Planet menampilkan plot dimana para penjahat bergilir-gilir melakukan perancangan jahat mereka. Ada episod yang menampilkan penjahat cuba mencemari sumber air bersih, ada pula yang menceritakan tentang penjahat melombong mineral, atau cubaan menghasilkan hujan asid ke atas kawasan berpenduduk.

Sesetengah episod bahkan pergi ke plot yang lebih berat seperti penggunaan pukat haram yang mengeksploitasi sumber ikan di lautan, tentang pengurusan sisa sampah secara haram, atau cubaan perundangan oleh penjahat untuk menukar semua taman negara kepada pusat buangan toksik.

Dalam setiap episod, Planeteers akan cuba menghalang usaha penjahat tadi hinggalah Captain Planet akhirnya diseru untuk pertarungan mutlak yang seperti dalam kebanyakan siri animasi, berakhir dengan kebaikan mengatasi kejahatan.

Matlamat pendidikan dalam Captain Planet bagaimanapun tidak boleh dipandang enteng. Ketika siri animasi lain masih lagi bercakap tentang hal-hal ringan, siri Captain Planet sudah pun menyentuh isu penyalahgunaan dadah, masalah lebihan populasi dan juga pandemik HIV/AIDS, tiga isu global yang mendapat perhatian ketika waktu itu.

Keunikan tema yang disentuh oleh Captain Planet menjadikan ia satu siri animasi yang lain dari yang lain. Sebelum peralihan millenium (iaitu, sebelum tahun 2000) isu-isu alam sekitar bukanlah sesuatu yang dibincangkan secara meluas, terutama sekali dalam industri hiburan, lebih spesifik lagi dalam bidang animasi.

Kelompongan ini diisi oleh Captain Planet yang membawa perbincangan dan pendidikan alam sekitar kepada kanak-kanak semuda 4 tahun.

Oleh kerana isu alam sekitar juga terkait rapat dengan politik, tidaklah menghairankan juga apabila Captain Planet kelihatan sebagai satu siri animasi yang agak politikal. Mesej yang dibawanya sekitar 30 tahun lalu, kekal relevan bahkan mungkin semakin mustahak kini.

Begitulah hebatnya Captain Planet.

Author image
Lucius Maximus adalah seorang penulis dengan tiga buku setakat ini, Cerita Piala Dunia 2010, Cerita Malaysia Tidak Ke Piala Dunia dan Maaf Aku Bukan Lagi Leon Trotsky Kamu Semua.
You've successfully subscribed to Kapten Bumi
Great! Next, complete checkout for full access to Kapten Bumi
Welcome back! You've successfully signed in.
Unable to sign you in. Please try again.
Success! Your account is fully activated, you now have access to all content.
Error! Stripe checkout failed.
Success! Your billing info is updated.
Error! Billing info update failed.