latest

Don’t Look Up, Kiamat Tanpa Sangkakala

April 2021, Tuan Ibrahim Tuan Man selaku Menteri Alam Sekitar dan Air menjelaskan betapa Malaysia tidak diundang pada Sidang Kemuncak Pemimpin Berkenaan Iklim di Amerika Syarikat (AS) pada 22 dan 23 April yang lalu, kerana ia disifatkan tidak tergolong dalam kategori negara yang terdedah kepada impak perubahan iklim yang ketara. Malaysia juga disebut tidak termasuk dalam objektif utama persidangan itu, iaitu menggalakkan negara ekonomi besar yang secara kolektif menyumbang kepada 80 peratus gas rumah hijau (GHG), untuk meningkatkan komitmen mencapai matlamat mengekalkan pemanasan global pada tahap kenaikan suhu maksimum 1.5 darjah selsius.

Samada kenyataan Tuan Ibrahim itu sudah diputarbelitkan, atau memang beliau ikut merasai bahawa Malaysia tidak terdedah oleh perubahan iklim; kita telah melihat kejadian yang mengejutkan pada bulan Disember 2021, untuk membuktikan betapa salahnya beliau.

Malaysia dilanda banjir besar, yang mengorbankan lebih 40 nyawa. Banjir besar itu malah bukan berlaku di kawasan hulu, melainkan menimpa Lembah Klang, yang merupakan kawasan berkepadatan penduduk tinggi, di negeri paling kaya di Malaysia.

Justeru, filem Don’t Look Up yang temanya memang mengenai pengabaian perubahan iklim di dunia, dengan pusatnya tentulah Amerika Syarikat, penonton di Malaysia lekas sekali menangkap mesej bencana yang dihantarkan.

Don’t Look Up mengisahkan calon PhD dari Michigan State University, Kate Dibiasky (lakonan Jennifer Lawrence) menemukan sebuah komet yang akan menghentam bumi dalam tempoh enam bulan, ia mulai lucu menggigit seawal lima minit pertama. Khusus ketika penyelia doktorat Dibiasky, Dr Randall Mindy lakonan Leonardo DiCaprio (dari universiti kecil bertaraf ‘state’) menjelaskan kepada Dr Oglethorpe (lakonan Rob Morgan) dari NASA, ‘Saya kaji gas surih, tapi dah lama saya tiada penerbitan…’

Filem genre ‘dramedy’ atau drama-komedi ini membawa audien ke Rumah Putih di mana mereka akan bertemu dengan Presiden Janie Orlean (lakonan Meryl Streep) yang sedang berdepan dengan ribut politik. Tentu, Presiden Orlean ala Donald Trump itu tidak mempedulikan amaran saintifik daripada dua orang saintis ini, kerana ‘masanya salah’ maklumlah pilihan raya semakin dekat.

Serasa dekat dengan Malaysia?

Oleh sebab Orlean dan menteri kabinetnya Jason, (yang merupakan anaknya sendiri lakonan Jonah Hill) memandang remeh amaran kiamat ini, mereka memilih untuk mencari media. Ini membawa Mindy dan Dibiasky ke sebuah rancangan televisyen yang tersohor; The Daily Rip.

Kelihatannya semua tidak mengendahkan amaran ketibaan komet ini sehinggalah Presiden Orlean merasai kemungkinan bencana itu boleh digunakan olehnya untuk menang pilihan raya. Maka kemungkinan bencana itu segera ditunggang, siap dengan pelancaran kesiapsiagaan untuk ‘memusnahkan komet’ bersama mercun dan bunga api. Sepertinya Ismail Sabri melancarkan kesiapsiagaan bulan banjir.

Serasa dekat dengan Malaysia?

Terdapat banyak rujukan dalam Don’t Look Up mungkin serasa jauh dari kefahaman kita. Audien perlu menghidu-hidu misalnya siapakah yang diperli dan disindir. Filem ini sepenuhnya sarkasme dengan himpunan nama-nama besar kilang Hollywood. Malah Ariana Grande muncul untuk melakonan watak seperti dirinya sendiri, siap dengan adegan konsert mengenai kehancuran bumi. Oh ya, lagu temanya juga cukup merdu.

Aset terbesar dalam filem ini nampaknya bukanlah plot atau kekuatan naratifnya. Kita sudah dapat menduga ke mana arah yang hendak dibawa; misalnya pemimpin jahat yang menenggek bencana, bapa kapitalis keparat yang menuai laba oleh tragedi, sains yang diabaikan dan kecelakaan media sosial yang meredam apa yang penting.

Akan tetapi naratif yang sudah boleh dijangka ini membawa kita kepada pusingan ‘dramedy’ yang mana komponen dramatik itu diberikan peranan besar. Klise tidak salah, klise hanya biasa, dan siapa pula bilang biasa itu tidak bagus.

Adegan akhir di meja makan tatkala dunia kiamat (tanpa tiupan sangkakala), watak-watak utama Don’t Look Up duduk menikmati hidangan terakhir sambil saling memujuk, bahawa mereka telah melakukan yang terbaik untuk memahamkan masyarakat dunia (enam bulan lalu) bahawa bumi akan musnah. Adegan absurd tersebut mengingatkan saya kepada adegan akhir Melancholia (2011) arahan Lars von Trier dibintangi antara lain Kirsten Dunst dan Charlotte Gainsbourg. Cuma Don’t Look Up bukan filem apocalyptic biasa. Ia bertujuan menganjingkan politikus, kapitalis dan dunia selebriti.

Tentu sukar memandu sejumlah pelakon besar di Hollywood antara lain Rob Morgan, Jonah Hill, Mark Rylance, Tyler Perry, Timothée Chalamet, Ron Perlman, Ariana Grande, Scott Mescudi, Himesh Patel, Melanie Lynskey, Michael Chiklis, Tomer Sisley, Paul Guilfoyle, Robert Joy, Cate Blanchett dan tentu sahaja seniwati Meryl Streep. Seorang pengarah yang lemah tentu tidak dapat mengendalikan bakat-bakat penuh tenaga ini. Kerja pengarahan bukan sahaja duduk di kerusi menitah itu ini malah sebetulnya perlu menyuluh jalan agar pasukan kreatif yang akan terlihat di skrin benar-benar menggalas mesej utama karya. Dalam konteks Don’t Look Up, Adam Mckay sebagai pengarah dan penulis melakukan kerja cemerlang. Tentu sahaja Mckay perlu tunduk kepada DiCaprio, merubah naratif filem ini demi memastikan beliau ikut serta.

Kehadiran pasukan nama cemerlang dalam Don’t Look Up nampaknya berjaya menawan khayalak agar memberi perhatian kepada filem ini. Lakonan Meryl Streep sebagai Presiden Orlean yang bodoh-bodoh (serasa dekat dengan Malaysia?) di tengah CEO Bash Cellular, Peter Isherwell lakonan Mark Rylance yang percaya melombong di atas komet boleh menyelesaikan masalah kemiskinan sejagat, ketidakadilan sosial dan perubahan iklim; kedua-duanya demikian meyakinkan.

Cate Blanchett menyinar dengan cara menyakitkan hati selaku Brie Evantee, hos The Daily Rip memberikan kita kebobrokan media yang tidak berpihak kepada orang awam, atau Kate Dibiasky (Jennifer Lawrence) memberi warna yang tidak diduga semacam simbol anak MUDA (kaum kiri) yang lelah dengan politik kaum tua.

Saat ditokok Ariana Grande sebagai Riley Bina, ikon muzik pop yang menyokong gerakan “Just Look Up” sebuah pertubuhan lawan seruan establisment, ‘Don’t Look Up’, sensasi muzik turut disuntik. Demi meraih perhatian khalayak muda, Timothée Chalamet sebagai Yule, anarkis yang asalnya evangelis disuguhkan. Lakonan Chalamet di meja makan berdoa menjadi babak spiritual yang mengesankan.

Paling luar biasa, ialah Leonardo DiCaprio yang sebagai Randall Mindy memberikan aneka gelombang; dari keresahan dan ketagihan Xanax meleret sehingga kemunafikan politiknya, keculasan sebagai suami curang membawa kepada titik paling meyakinkan dalam lakonan, iaitu perubahan sebab akibat di tengah-tengah rancangan secara langsung The Daily Rip.

Dr Mindy menjeritkan ‘Presiden Amerika Syarikat itu berbohong kepada kita’. Nah serasa dekat dengan Malaysia?

Kebanyakan reviu yang menolak Don’t Look Up secara negatif adalah kerana pembawaan kirinya dalam pelbagai kritik politik. Akan tetapi ternyata apa ulasan yang buruk sekalipun tidak dapat mengabaikan kekuatan pasukan lakonan filem ini.

Filem 138 minit ini sudah meraih perhatian pencalonan empat kategori untuk Golden Globe, termasuk Leonardo DiCaprio sendiri dalam kategori sebagai pelakon lelaki terbaik (komedi).

Don’t Look Up ditayangkan di Netflix.

Author image
Faisal Tehrani adalah Felo Penyelidik di Institut Alam UKM dan Penyelidik Bersekutu di sebuah tim penyelidikan di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard.
You've successfully subscribed to Kapten Bumi
Great! Next, complete checkout for full access to Kapten Bumi
Welcome back! You've successfully signed in.
Unable to sign you in. Please try again.
Success! Your account is fully activated, you now have access to all content.
Error! Stripe checkout failed.
Success! Your billing info is updated.
Error! Billing info update failed.