latest

Gelombang Haba Memanaskan Malaysia

Bulan Ramadan pada tahun ini dilalui dengan pelbagai cabaran. Selalunya, masyarakat akan mengeluh tentang kenaikan harga barang, kebersihan gerai makan, dan soal pengurusan sampah yang menjejaskan kualiti hidup masyarakat. Kali ini, dugaan yang sering menjadi perbincangan media dan orang awam sejak Ramadan adalah ‘Malaysia semakin panas’ akibat gelombang haba atau dikenali sebagai heatwave.

Maksud Ramadan itu sendiri sinonim dengan cuaca panas terik. Namun, iklim bumi sudah mula berubah dan suhu panas menjadi satu cabaran baharu kepada masyarakat dunia. Gelombang haba sering dikaitkan  dengan cuaca panas, tetapi ia mempunyai beberapa perbezaan. 

Secara asasnya, gelombang haba adalah suhu panas yang melangkaui tahap maksimum purata harian cuaca panas normal. Dari segi tempoh, gelombang haba berlaku dalam masa yang panjang (boleh sampai lebih daripada beberapa minggu) manakala suhu panas pula berlaku dalam tempoh yang singkat dan boleh berubah mengikut iklim kawasan sekitar.

Kesan gelombang haba pula lebih buruk berbanding cuaca panas. Ia boleh menyebabkan tanaman rosak dan menjejaskan bekalan makanan dalam tempoh yang panjang. Masalah kesihatan juga boleh berlaku disebabkan gelombang haba seperti strok di mana suhu badan melebihi 40°C yang pada satu tahap boleh menyebabkan berlakunya kematian.

Ini seperti yang dilaporkan World Meteorological Organization (WMO) yang menyatakan kadar kematian berkaitan gelombang haba di negara-negara Eropah meningkat sebanyak 94% pada tahun 2023. Ia berlaku disebabkan suhu tanah di beberapa negara Eropah meningkat secara mendadak dan berlakunya bencana banjir disebabkan peningkatan hujan sebanyak 7 peratus pada tahun 2023.

Di Malaysia, gelombang panas boleh ditakrifkan sebagai suhu maksimum harian melebihi 37°C untuk 3 hari berturut-turut. Berdasarkan laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 14 April 2024, sebanyak 45 kes penyakit berkaitan haba dengan dua kematian dicatatkan. Beberapa kawasan di Malaysia berada di tahap dua gelombang haba di bahagian Utara dan Pantai Timur seperti Kedah dan Kelantan. 

Malaysia tidak berkeseorangan dalam berhadapan dengan gelombang haba di rantau Asia Tenggara. Di Filipina, 82 daerah mengalami kemarau berpanjangan yang boleh menyebabkan hasil tanaman dan sumber makanan mereka terjejas.  Di Thailand, cuaca panas di Bangkok mencatatkan suhu luar biasa pada kadar 40.1 °C pada 24 April dan ia boleh mencapai tahap 52 °C. Suhu panas yang melampau ini telah mengorbankan hampir 30 nyawa di Thailand pada tahun ini. 

Melihat kepada cabaran gelombang haba ini, ia tidak seharusnya dipandang mudah oleh pemimpin, pembuat dasar, dan masyarakat. Kelalaian mengatasi masalah gelombang haba ini, baik dari segi jangka pendek dan panjang, menyebabkan banyak kerugian dan risiko yang terpaksa ditanggung negara dan rakyat.  Justeru, pendekatan yang lebih kreatif dan berkesan boleh diambil untuk mempersiapkan komuniti berdepan dengan gelombang haba.

Hakikatnya, usaha mengatasi gelombang haba ini lebih berkait rapat dengan peranan kerajaan tempatan berbanding kerajaan pusat mahupun negeri. Kerajaan tempatan sebenarnya boleh memainkan peranan proaktif dalam membuat perancangan bandar dan garis panduan yang lebih inklusif dalam menguruskan gelombang haba.

Kerajaan tempatan perlu mengenal pasti kawasan yang mengalami gelombang haba menggunakan pemetaan teknologi untuk meningkatkan lagi perancangan penghijauan di kawasan dengan objektif untuk meredakan suhu kawasan. Antara tindakan yang boleh diambil di kawasan tumpuan ini adalah meningkatkan ruang hijau seperti taman yang mempunyai tanaman pokok-pokok dan menanam pokok di sepanjang jalan raya. 

Bukan itu sahaja. Di bandar besar seperti New York, Amerika Syarikat, terdapat idea di mana pihak kerajaan tempatan dan komuniti untuk mengurangkan suhu panas bagi setiap bangunan dengan mengecat bumbung bangun dengan warna yang cerah seperti putih. Projek ini dipanggil sebagai New York's CoolRoofs. Usaha ini dikatakan boleh mengurangkan suhu kepanasan di sesebuah bandar sebanyak 3 °C seperti New York dan Washington.

Terdapat juga garis panduan untuk mengawal aktiviti pembinaan di kawasan bandar bagi mengurangkan suhu kawasan sekitar. Contohnya, beberapa kerajaan tempatan di United Kingdom seperti Manchester memperkenalkan garis panduan yang memendekkan masa operasi pembinaan dan tempoh bekerja bagi  pekerja pembinaan dan buruh di sesebuah bandar jika suhu sekitar mencapai lebih 40 °C.

Cadangan ini bertujuan untuk memastikan aktiviti pembinaan di kawasan sekitar lebih terkawal dan tidak menghasilkan habuk dan asap yang boleh menambah suhu kepanasan. Malah, ia juga dapat memastikan setiap pekerja pembinaan tidak berhadapan dengan risiko kesihatan seperti kelesuan dan strok haba. 

Dari sudut yang lain, gelombang haba juga memberi peluang kepada pengguna menggunakan tenaga yang lebih baik dalam mengurangkan kepanasan suhu. Daripada membeli penghawa dingin untuk menyejukkan rumah atau ruang bekerja. Contohnya, pembelian penghawa dingin yang menggunakan teknologi solar di India kian meningkat sebagai alternatif yang lebih cekap berbanding penggunaan hawa dingin biasa yang boleh meningkatkan tenaga dan bil elektrik. 

Langkah-langkah mengatasi gelombang haba ini mungkin boleh menambah baik strategi dan perancangan Malaysia, khususnya kerajaan tempatan untuk mengambil tindakan proaktif. Tindakan jangka pendek ini boleh menjadi besar jika pihak berwajib dan masyarakat mempunyai kesedaran tinggi tentang kepentingan menjaga alam sekitar dan kesihatan diri. 

Author image
Berkelulusan Kajian Politik dan Pemerintahan di UNIMAS, Sarawak. Minat dengan parlimen yang tidak siapa kisah di Malaysia. Menulis untuk mengganggu pemikiran orang supaya berfikir dan mengkritik.
You've successfully subscribed to Kapten Bumi
Great! Next, complete checkout for full access to Kapten Bumi
Welcome back! You've successfully signed in.
Unable to sign you in. Please try again.
Success! Your account is fully activated, you now have access to all content.
Error! Stripe checkout failed.
Success! Your billing info is updated.
Error! Billing info update failed.