latest

Hari Bumi 2024 Dan Google Doodle

Hari ini 22 April 2024 adalah Hari Bumi, satu hari istimewa dalam menyatakan sokongan kepada perlindungan alam sekeliling dan usaha-usaha mewujudkan kesedaran dan penghargaan terhadap alam. Kali pertama dianjurkan pada 22 April 1970, ia kini diraikan di lebih 193 negara termasuk Malaysia dengan pelbagai aktiviti atau acara berkaitan alam sekeliling dan kepentingan planet Bumi.

Idea mewujudkan hari istimewa untuk menghargai Bumi dan keamanan bermula dari tahun 1969 ketika persidangan UNESCO setelah dicadangkan oleh aktivis keamanan John McConnell. Ia kemudian berkembang pada tahun 1970 kepada Hari Bumi hasil inisiatif Senator Amerika Syarikat, Gaylord Nelson dan aktivis muda Denis Hayes dengan tarikh 22 April dipilih khusus sebagai Hari Bumi.

Walaupun pada awalnya Hari Bumi terhad diraikan di Amerika Syarikat sahaja, pada tahun 1990-an Hayes memulakan usaha untuk menjadikan ia sebagai peristiwa sambutan global dengan mengadakan acara di 141 negara lain. Kemuncak sambutan Hari Bumi tercetus lapan tahun lalu apabila tarikh 22 April 2016 dipilih sebagai tarikh Perjanjian Paris ditandatangani oleh 195 negara yang menandakan bermulanya perjanjian perlindungan iklim global yang pertama.

Bersempena dengan Hari Bumi 2024, Google seperti kelazimannya pada setiap hari-hari penting atau bersejarah akan memperkenalkan Doodle terbaru sebagai meraikan Hari Bumi. Istimewanya Google Doodle kali ini ialah ia menampilkan gambar pandangan udara kecantikan planet Bumi dan kepelbagaian bio sebagai peringatan kepada kita semua akan kepentingan melindunginya demi warisan generasi masa hadapan.

Lokasi-lokasi terpilih yang menjadi tema Google Doodle bersempena Hari Bumi 2024 adalah:

G: Kepulauan Turks dan Caicos. Pulau-pulau ini adalah habitat kepada kawasan biodiversiti yang penting dengan usaha pemuliharaan yang bertujuan untuk menangani cabaran alam sekitar yang berterusan, termasuk melindungi sumber semula jadi dan terumbu karang dan memulihkan spesies terancam seperti iguana batu Kepulauan Turks dan Caicos.

O: Taman Negara Terumbu Kala Jengking, Mexico. Juga dikenali sebagai Arrecife de Alacranes, ia adalah terumbu karang terbesar di selatan Teluk Mexico dan merupakan rizab biosfera UNESCO. Kawasan perlindungan marin ini berfungsi sebagai perlindungan untuk kompleks batu karang dan beberapa spesis burung dan penyu yang terancam.

O: Taman Negara Vatnajökull, Iceland. Ditubuhkan sebagai taman negara pada tahun 2008 selepas advokasi berdekad lamanya, Tapak Warisan Dunia UNESCO ini melindungi ekosistem di dalam dan sekitar glasier terbesar di Eropah. Campuran gunung berapi dan ais glasier menghasilkan lanskap dan flora yang jarang ditemui.

G: Taman Negara Jaú, Brazil. Juga dikenali sebagai Parque Nacional do Jaú, taman ini adalah salah satu hutan simpan terbesar di Amerika Selatan dan Tapak Warisan Dunia UNESCO. Terletak di tengah-tengah hutan hujan Amazon, ia melindungi pelbagai jenis spesis, termasuk margay, harimau jaguar, memerang gergasi dan manati Amazon.

L: Tembok Hijau Besar, Nigeria. Bermula sejak tahun 2007, inisiatif yang diterajui Kesatuan Afrika ini memulihkan tanah yang terjejas akibat penggurunan di seluruh Afrika, menanam pokok dan tumbuh-tumbuhan lain sambil melaksanakan amalan pengurusan tanah yang mampan. Ini juga menyediakan penduduk dan komuniti di kawasan itu dengan peningkatan peluang ekonomi, keterjaminan makanan dan daya tahan iklim.

E: Rizab Semula Jadi Kepulauan Pilbara, Australia. Terletak di salah satu Rizab Semula Jadi Pulau Pilbara, salah satu daripada 20 rizab alam semula jadi di Australia yang membantu melindungi ekosistem yang rapuh, habitat semula jadi yang semakin jarang ditemui dan beberapa spesis terancam atau genting - termasuk pelbagai spesies penyu laut, burung pantai dan burung laut.

Usaha murni Google melalui Doodle Hari Bumi 2024 dalam memperkenalkan keindahan alam dan kepentingan biodiversiti ini merupakan satu usaha terpuji dalam mewujudkan kesedaran di kalangan umat manusia akan kepentingan planet Bumi dan alam semula jadi bersempena Hari Bumi.

Namun meraikan Hari Bumi tiada ertinya jika hanya pada 22 April sahaja kita peduli terhadap planet ini, sedangkan baki 364 hari lagi dalam setahun kita alpa dan lalai dalam melindungi dan menjaga alam sekeliling.

Hari Bumi adalah simbolik dalam merayakan, tetapi sewajarnya kita semua sentiasa peduli terhadap alam demi masa hadapan yang bermakna buat kita dan anak cucu kita.

Selamat Hari Bumi!

Author image
Adleen Arleena seorang penyelidik di sebuah agensi sosial serantau. Liberal, demokrat dan sekularis.
You've successfully subscribed to Kapten Bumi
Great! Next, complete checkout for full access to Kapten Bumi
Welcome back! You've successfully signed in.
Unable to sign you in. Please try again.
Success! Your account is fully activated, you now have access to all content.
Error! Stripe checkout failed.
Success! Your billing info is updated.
Error! Billing info update failed.