latest

In The 'Nik' Of Time

Walaupun tajuk ditulis di dalam bahasa Inggeris, namun artikel ini seperti kebanyakan artikel lain adalah dalam bahasa Melayu.

Orang putih kerap menyebut ungkapan "in the nick of time" untuk menunjukkan sesuatu itu berlaku atau tiba tepat pada masanya atau detik yang diperlukan. Tidaklah terlambat, tidak juga terlalu awal. Kalau dalam bahasa Melayu kita sebut "kena pada masanya".

Di saat Malaysia seperti negara lain di dunia berdepan dengan krisis iklim, tindakan Kerajaan Perpaduan Madani melantik Nik Nazmi Nik Ahmad sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam sebenarnya adalah bertepatan dengan situasi yang berlaku kini.

Tentu sekali, Nik Nazmi bukanlah lulusan bidang alam sekitar atau pakar iklim. Tetapi pemimpin muda kelulusan King's College London dalam bidang undang-undang itu adalah pilihan yang terbaik dalam membawa nafas baharu kepada satu kementerian yang semakin penting peranannya ketika negara mendepani cabaran alam sekitar dan krisis iklim.

Pengalaman Politik

Biarpun baru berusia 42 tahun namun pengalaman Nik Nazmi dalam politik tidaklah mentah. Beliau bermula sebagai Setiausaha Sulit kepada Dato' Seri Anwar Ibrahim pada tahun 2006, sebelum kemudiannya menjadi calon paling muda mewakili PKR dalam Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) pada 2008 dan memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia di Selangor.

Beliau kemudian dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bagi tempoh 2008 hingga 2010 dan pada PRU berikutnya pada 2013, Nik Nazmi berjaya mempertahankan kerusi DUN Seri Setia lalu dipilih menjadi Timbalan Speaker DUN Selangor.

Kerjayanya semakin berkembang apabila memegang portfolio sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi Selangor, sewaktu pentadbiran Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Besar negeri itu, pada 2014 hingga 2018.

Pada PRU tahun 2018, Nik Nazmi bertanding di kerusi parlimen buat pertama kali dan menang di Setiawangsa yang kemudiannya sekali lagi dimenangi untuk penggal kedua dalam PRU tahun 2022.

Nyata sekali, Nik Nazmi mempunyai pengalaman politik yang luas untuk memegang jawatan menteri, tetapi apakah beliau individu yang tepat sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam?

Cemerlang Di COP28

COP28 merujuk kepada satu persidangan perubahan iklim peringkat tertinggi PBB yang berlangsung di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu pada awal Disember tahun lalu.

COP itu sendiri bermaksud Conference of Parties - merujuk Persidangan Para Pihak kepada Konvensyen Kerangka Kerja PBB mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC), yang berkuat kuasa pada 21 Mac 1994 untuk mengurangkan kemusnahan sistem iklim disebabkan tindakan manusia.

COP itu sendiri kini terdiri dari 198 negara - satu angka keahlian yang hampir sejagat dan ia mengangkat Perjanjian Paris 2015 sebagai matlamat pelaksanaan konvensyen ini.

COP28 memberikan indikasi sejauh mana masyarakat global melibatkan diri dalam krisis iklim dan sebanyak mana perubahan yang perlu dilakukan, justeru kehadiran Malaysia dalam persidangan itu boleh diterjemahkan sebagai komitmen negara dalam mendepani krisis iklim.

Sebagai menteri yang bertanggungjawab, Nik Nazmi memainkan peranan penting ketika COP28 dalam membawa mesej dan aspirasi Malaysia terkait alam sekitar dan iklim.

Beliau berhasil mengutarakan kenyataan negara dalam COP28 yang antara lainnya menyentuh mengenai komitmen Malaysia dalam mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sebanyak 45% menjelang 2030, selain meningkatkan kadar tenaga yang boleh diperbaharui di Malaysia dari 25% kepada 70% menjelang 2050.

Nik Nazmi juga menyatakan tekad Malaysia dalam mengurangkan subsidi bahan api fosil serta meluluskan eksport tenaga boleh diperbaharui selain memperkukuhkan komitmen Malaysia untuk mengekalkan 50% dari keluasan tanah negara sebagai kawasan hutan selaras dengan Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro, Brazil pada tahun 1992.

Namun, apa yang lebih penting adalah gesaan yang dibawa oleh Nik Nazmi tentang ketelusan dalam tadbir urus dan mobilisasi Dana Kerugian dan Kerosakan yang ditubuhkan semasa COP28.

Dana ini adalah penting dalam membantu negara membangun khususnya dalam usaha-usaha tindakan iklim. Malaysia sebagai contoh telah melakukan pelbagai usaha terkait perubahan iklim, tetapi bersedia untuk melakukan lebih lagi andai diberi sokongan dana dan kepakaran sewajarnya.

Nik Nazmi juga ketika COP28 berani menegur negara-negara maju dan kaya agar tidak mengalih tiang gol, bersikap keras terhadap negara membangun dalam isu iklim tetapi mengambil pendekatan pragmatik apabila melibatkan negara-negara kaya. Tuntutan yang disampaikan oleh Nik Nazmi adalah kewangan iklim perlu menyeluruh dan saksama.

Menilai kepada bagaimana Nik Nazmi membawa Malaysia dalam memperjuangkan isu iklim di COP28, kita boleh menarik nafas lega dan merasa yakin dengan kebolehan negara mendepani cabaran yang kini melanda.

Krisis perubahan iklim adalah sesuatu yang baharu dengan pelbagai kemungkinan yang tidak dijangka. Mempunyai seorang menteri muda dengan pendekatan bukan ortodoks serta pemikiran di luar kotak tentu sekali sangat membantu dan dalam barisan kepimpinan Kerajaan Perpaduan Madani yang ada, Nik Nazmi adalah pilihan yang tepat "in the Nik of time" untuk menerajui Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam.

Author image
Lucius Maximus adalah seorang penulis dengan tiga buku setakat ini, Cerita Piala Dunia 2010, Cerita Malaysia Tidak Ke Piala Dunia dan Maaf Aku Bukan Lagi Leon Trotsky Kamu Semua.
You've successfully subscribed to Kapten Bumi
Great! Next, complete checkout for full access to Kapten Bumi
Welcome back! You've successfully signed in.
Unable to sign you in. Please try again.
Success! Your account is fully activated, you now have access to all content.
Error! Stripe checkout failed.
Success! Your billing info is updated.
Error! Billing info update failed.