Pasti ramai yang tidak tahu, tapi hari ini pada tarikh 20 Mac merupakan Hari Katak Sedunia. Ia hari khas yang diwujudkan bagi meraikan katak-katak seluruh dunia di samping mewujudkan kesedaran umum kepentingan katak dalam kehidupan seharian kita di Bumi bertuah ini.
Sebut sahaja katak, tentunya terbayang di fikiran kita makhluk amfibia yang jijik dan hodoh. Siapa sahaja yang tidak geli melihat katak apa lagi menyentuhnya. Tetapi katak tetap juga menjadi pilihan segelintir manusia yang menjadikan ia sebagai haiwan peliharaan eksotik, dan tidak lupa juga sesetengah komuniti yang menjadikan katak sebagai sajian eksotik mereka.
Namun bersempena Hari Katak Sedunia pada 20 Mac ini, kita tidak akan membicarakan tentang kenapa katak itu dilihat jijik dan hodoh, atau kenapa ianya menjadi haiwan peliharaan berbanding kucing atau anjing dan kenapa pula ia dijadikan juadah pilihan berbanding ikan atau ayam bagi sesetengah pihak.
Sebaliknya kita akan mengupas asal-usul Hari Katak Sedunia dan apa relevannya makhluk amfibia ini memiliki hari khasnya tersendiri.
Asal-Usul Hari Katak Sedunia
Hari Katak Sedunia muncul dari kesedaran sejak kurun 1800 tentang peranan katak sebagai pengimbang ekosistem, yakni sebagai ejen mengawal makhluk perosak atau serangga dan sebagai sumber makanan hidupan lain.
Pada tahun 1942, fungsi katak sebagai penunjuk atau indikator alam sekitar mula disedari oleh para saintis. Kitaran hidup katak melibatkan daratan dan air serta kebolehtelapan kulitnya dapat menjadi penanda aras kualiti alam bagi mengesan lebih awal sebarang kemerosotan alam sekitar.
Penurunan mendadak populasi global katak yang dikesan pada dekad 1980-an telah mencetuskan amaran kepada para penyelidik dan aktivis alam sekitar. Dunia berdepan potensi berlakunya kepupusan besar-besaran spesis katak yang boleh mencetuskan bencana alam sekitar dan ketidakseimbangan ekosistem yang tidak terjangkau dek akal manusia.
Pada tahun 1995, buat pertama kalinya tarikh 20 Mac ditetapkan sebagai Hari Katak Sedunia bagi meraikan makhluk amfibia ini. Ia kemudian mula diraikan secara meluas di seluruh dunia bermula dari tahun 2014.
Kenapa Katak Diraikan?
Katak adalah amfibia tanpa ekor yang telah wujud sejak 256 juta tahun dahulu. Dianggarkan 6,000 spesis katak telak ditemui dengan 4,800 spesis telah direkodkan secara terperinci. Katak wujud di setiap benua yang ada kecuali benua Antartika.
Katak sebenarnya adalah hidupan yang penting kepada alam sekitar. Kewujudan katak memainkan peranan yang penting untuk ekosistem setempatnya. Dilaporkan oleh para penyelidik kehilangan populasi katak di satu-satu tempat akan mewujudkan ketidakseimbangan ekosistem yang besar kesan negatifnya.
Katak sebenarnya berperanan sebagai pemangsa serangga yang efektif. Serangga seperti lalat, nyamuk, kutu dan sebagainya yang merupakan ancaman kepada kesihatan flora dan fauna merupakan sumber makanan utama katak. Ketiadaan katak di satu sempat contohnya boleh menjadi punca kepada pertambahan populasi nyamuk yang membawa penyakit berjangkit kepada manusia.
Kebolehtelapan kulit katak juga boleh menjadi indikator kualiti udara dan air sekitar. Kitaran hidup amfibia ini yang hidup di air ketika juvana dan di darat apabila dewasa menjadikan katak penanda aras kualiti alam. Ketiadaan katak dalam satu-satu kawasan boleh menjadi petanda awal sumber air, udara atau keadaan darat yang tercemar.
Katak juga memainkan peranan penting dalam rantaian makanan sebagai sumber makanan haiwan pemangsa lain seperti ular, burung atau hidupan akuatik. Kitaran hidup dari telur kepada larva dan kemudiannya kepada berudu dan akhirnya katak dewasa menjadikan katak sumber makanan haiwan lain di pelbagai peringkat kehidupan.
Selain dari itu, katak turut membantu sebagai ejen penyuburan tanaman melalui najis yang dihasilkan, aktiviti yang meronggakan struktur tanah untuk memudahkan tumbesaran tumbuhan atau sebagai penyebar benih untuk meluaskan kawasan tanaman secara semulajadi.
Namun kemerosoton populasi katak yang mula berlaku sejak dekad 1950-an mencetuskan kebimbangan. Lebih satu pertiga dari spesis katak kini diancam kepupusan, dan penyelidik percaya lebih dari 120 spesis telah pun pupus sejak 1980-an.
Sebarang perubahan alam sekitar walaupun kecil mendatangkan kesan lebih ketara kepada amfibia dua alam seperti katak berbanding mamalia atau reptilia yang lebih berdaya tahan terhadap perubahan ekologi. Justeru kewujudan katak adalah penting sebagai indikator alam amaran awal sebarang bencana ekologi yang sedang berlaku.
Justeru kesedaran konservasi katak mula diadakan secara meluas yang sekaligus mengubah pandangan umum terhadap katak. Hari Katak Sedunia adalah salah satu dari inisiatif bagi mewujudkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan katak dan kenapa ia perlu diraikan.
Semoga selepas membaca artikel ini, pandangan anda mengenai katak berubah dan kita akan lebih menghargai peranan yang dimainkan oleh makhluk amfibia bermata bulat dan berlidah panjang ini.
Selamat Hari Katak Sedunia!