latest

Korupsi; Pembolotan Sumber Asli Oleh Golongan Kaya-raya

Akar kepada masalah korupsi hari ini adalah kejahilan terhadap alam sekitar, dalam konteks gagal memahami bagaimana alam berfungsi.

Alam adalah gambaran kehidupan bermasyarakat yang harmoni dalam sistem. Flora dan fauna tidak pernah mengkhianati sesama sendiri. Simbiosis dalam biodiversiti menjadikan tumbuh-tumbuhan hidup subur biarpun tidak ada yang menyirami dan membajai hutan. Haiwan-haiwan kenyang tanpa perlu tangan menyua memberi makan.

Kesemuanya, baik hidup baik mati memberi manfaat kepada yang lain. Pokok-pokok besar membenarkan tumbuhan kecil melilit batang dan dahan supaya sama-sama memperoleh cahaya matahari. Berkongsi. Semua memperoleh pembahagian sumber yang sekata dengan cara tersendiri.

Jauh berbeza dengan sistem hidup manusia, biarpun manusia itu sendiri adalah sebahagian daripada alam, keharmonian seperti itu tidak dijadikan ikutan walhal kebanyakan ajaran di atas dunia ini sejak zaman berzaman adalah menyeru manusia melihat tanda-tanda alam.

Peningkatan populasi selalu menjadi topik perbincangan berkait hal alam sekitar. Manusia kononnya terlalu ramai. Perlukan tempat tinggal, makanan dan kenderaan maka lebih banyak tanah perlu diteroka, pokok harus ditebang dan kawasan perairan ditambak.

“Bu Guru, mengapa gergaji-gergaji besi itu mengambil pokok kami?”

“Mungkin mereka butuhkan kayu.”

“Kami guna parang, sikit saja yang diambil.”

Terngiang-ngiang dialog Buindah dan gurunya Butet Manurung (lakonan Prisia Nasution) dalam babak mereka menyaksikan pemusnahan hutan dalam Sokola Rimba (2013).

Filem dari seberang arahan Riri Riza ini memaparkan konflik kaum pribumi yang tinggal di Taman Nasional Bukit Dua Belas, Jambi, Indonesia, yang mana kelangsungan hidup dan budaya terancam dengan polisi taman nasional (di Malaysia, kita ada taman negara/negeri) dan kerakusan pembalak-pembalak haram.

Filem dari Hollywood, Geostorm (2017) pula memaparkan kesan pertembungan dua suhu ekstrem sehingga mewujudkan ancaman geostorm, yang mana lebih daripada itu, mesej sebenarnya adalah manusia dan keinginan-keinginan ekstrem.

David Roberts, melalui artikel I’am an Environmental Journalist but I Never Write About Overpopulation. Here’s Why… dalam membidas persoalan populasi yang kononnya punca kepada permasalahan alam sekitar menyatakan bahawa menyalahkan peningkatan populasi, dan berusaha merangka pelbagai strategi mengawal populasi melalui polisi-polisi bilangan anak dan pendidikan perancangan keluarga demi mencukupkan bekalan sumber asli bukan hal yang sepatutnya dijadikan isu. Tetapi keinginan ekstrem yang menghuni jiwa seorang manusia seharusnya lebih perlu dikawal.

“Another way to approach the problem would be, rather than prevent the birth of extremely wealthy people, prevent the creation of extremely wealthy people. In other words, prevent the accumulation of massive wealth. You could do that by, for instance, taxing the shit out of wealthy people.”

Mengulas konsumerisme ekstrem di kalangan golongan ‘super rich’, Roberts menyambung,

“Reducing high-end consumption could be have an enormous short-term impact on carbon emissions, as climate scientist Kevin Anderson is always saying. Shifting wealth within population – reducing the number of very wealthy and the number in poverty – can have as much carbon impact as reducing overall population. So maybe, at the next environmental event, you could ask the income inequality question rather than the population question.”

Nah, ketidakseimbangan perolehan pendapatan!

Golongan ‘super rich’ dikenakan cukai lebih tinggi itu wajar, demi mengimbangi perolehan dan sumber asli yang tentunya diambil lebih banyak berbanding orang kebanyakan. Namun, apa yang sering berlaku adalah golongan atasan tersebut lebih pintar meloloskan diri daripada cukai, melalui pelepasan-pelepasan serta lebih ‘disantuni’ oleh undang-undang.

Itu belum masuk hal pemilikan tanah seluas-luasnya, semurah-murahnya dan selama-lamanya, kebenaran pajakan beratus tahun, manakala golongan bawahan, sudahlah terhimpit dengan terhadnya sumber, dikenakan pula cukai tinggi dalam keperluan harian.

Tidak seperti pohon-pohon besar yang membenarkan tumbuhan lain melilit naik untuk menerima cahaya matahari, manusia gagal mencontohi sikap ini.

Gagal, biarpun dibekalkan akal.

Hakikatnya dalam sistem manusia, satu kelompok mengambil sumber sebanyak-banyaknya. Satu kelompok lagi dipijak-pijak, terhalang daripada menerima manfaat.

Perjuangan kelompok bawahan ini dilunakkan dengan saranan sikap berhemah, mencandukan konsep ‘kesederhanaan’ (sedang faktanya, sumber yang boleh diakses di bawah paras sederhana, mahu sederhana bagaimana lagi?), kempen Earth Hour, mengharamkan penggunaan straw, ‘sustainable development’, permakultur dan sebagainya namun tindakan ekstrem yang kerap berlaku sebagai pilihan jalan keluar daripada tekanan kemiskinan adalah saluran jenayah!

Seperti mana suhu dingin ekstrem dan suhu panas ekstrem mewujudkan taufan, pertembungan di antara kaya ekstrem dan miskin ekstrem mewujudkan taufan dalam sistem masyarakat.

Jadi, apakah korupsi yang terbenih daripada keinginan ekstrem manusia boleh dikatakan tidak berkaitan dengan alam sekitar? Tentulah tidak. Perkara ini sama sekali tidak dapat dipisahkan.

Penyahwartaan hutan simpan untuk projek pembangunan yang tidak selesai-selesai, pemberian lesen konsesi balak kepada yang tidak berhak, pengusiran kaum orang Asal dan Asli, perompakan sumber asli bertopengkan projek empangan hidroelektrik dan ladang hutan telah mengganggu kelancaran ekosistem seterusnya membuka seluas pintu kepada kedatangan bencana dan apabila semua itu berlaku, iya, pemimpin-pemimpin (baca: boneka-boneka ‘super rich’) itu juga menjadi ‘adiwira’ kononnya paling prihatin, hanya dengan sebaran foto menyerahkan beras di dewan perlindungan mangsa bencana.

Lebih menguntungkan jika bencana berlaku menjelang pilihan raya, laku keras jadi modal buat meraih undi. Keinginan ekstrem terhadap ‘kerusi.’

Apabila memperkatakan tentang alam semula jadi, tumbuhan adalah watak utama. Nyawa. Kita sudah terlalu banyak menebang, meratakan hutan untuk pembinaan, sekaligus bermaksud kita berhutang terlalu banyak nyawa hanya untuk mendirikan sesuatu yang bersifat mati. Lebih zalim lagi, bukan semua golongan masyarakat secara sekata menerima manfaatnya.

Keinginan ekstrem terhadap rekod binaan paling luas, paling panjang dan paling tinggi membuat manusia terlupa statusnya sebagai peminjam, bukan empunya, maka apa-apa (sumber) yang diambil harus diganti semula.

Dalam menggalas tanggungjawab terhadap alam sekitar, agamawan atau bukan agamawan bukanlah isu yang harus diperbesar-besarkan sehingga membawa kepada percakaran. Lebih penting adalah usaha-usaha merawat di peringkat akar untuk menumbuhkan semula masyarakat dengan kefahaman yang benar – dan berharap korupsi akan beransur-ansur tersingkir.

Author image
Sedang dalam misi "planting green minded people" bersama Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA). Percaya bahawa Ladang Hutan Bukan Hutan. Juga seorang peguam.
You've successfully subscribed to Kapten Bumi
Great! Next, complete checkout for full access to Kapten Bumi
Welcome back! You've successfully signed in.
Unable to sign you in. Please try again.
Success! Your account is fully activated, you now have access to all content.
Error! Stripe checkout failed.
Success! Your billing info is updated.
Error! Billing info update failed.