Lebih kurang seminggu sebelum Aidiladha, kerajaan telah mengumumkan pelarasan tarif elektrik yang memperkenalkan jadual tarif baharu untuk para pengguna TNB di Semenanjung. Pelarasan ini adalah selaras dengan pelaksanaan mekanisme Imbalance Cost Pass-Through (ICPT) bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disember 2023.
Pelarasan tarif elektrik adalah ungkapan yang menggusarkan majoriti rakyat Malaysia yang merupakan pengguna TNB kerana ia dianggap sinonim dengan kenaikan bil elektrik bulanan. Dengan situasi ekonomi yang tidak menentu, kenaikan harga barangan asas manakala gaji pula terbantut pastilah ramai yang cemas apabila diumumkan pelarasan tarif elektrik.
Beban Kepada Rakyat?
Persoalan sekiranya pelarasan tarif elektrik ini akan menjadi beban kepada rakyat terjawab apabila Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yang Berhormat Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan bahawa pelarasan tarif elektrik itu tidak akan memberikan kesan kepada 99% pengguna domestik TNB.
Sebaliknya hanya 1% atau sekitar 83,000 pengguna domestik sahaja yang akan menyaksikan kenaikan bil elektrik bulanan.
Justeru apakah pelarasan yang sebenarnya dibuat ke atas tarif elektrik TNB untuk tempoh 1 Julai hingga 31 Disember 2023?
Pelarasan yang dibuat antara lainnya ialah mengenakan surcaj 10 sen/kWj untuk pengguna domestik yang mencatatkan pengunaan elektrik melebihi 1,500kWj sebulan. Dalam kata mudahnya, mereka yang mencatatkan pengunaan bil elektrik melebihi RM708 sebulan adalah kelompok 1% yang akan merasai kenaikan bil elektrik berikutan pengenaan surcaj ini.
Majoriti pengguna domestik TNB meliputi 99% yang lainnya pula adalah dari kalangan mereka yang mencatatkan penggunaan elektrik dengan bil tidak melebihi RM708 sebulan.
Kita hanya perlu melihat kepada bil elektrik bulan-bulan yang lalu untuk memastikan adakah kita pengguna domestik dalam kelompok 99% tersebut.
Jelas sekali pelarasan tarif elektrik yang dilaksanakan ini kekal melindungi rakyat dari terbeban dengan kos penggunaan elektrik yang tinggi. Bahkan kerajaan kekal komited dalam menampung kos subsidi elektrik sebanyak RM5.2 bilion bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disember 2023.
Kerajaan juga kekal komited melindungi kepentingan pengguna bukan domestik kategori tarif voltan rendah (tarif B dan D) dan tarif pertanian domestik (tarif H, H1 dan H2) yang tidak mengalami sebarang kenaikan tarif. Ini melindungi para pengusaha Perniagaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) meliputi restoran, kedai runcit, bengkel kecil, petani, penternak, pekebun dan lain-lain perniagaan seumpamanya.
Pengguna bukan domestik kategori voltan sederhana (MV) dan voltan tinggi (HV) dari kalangan industri dan komersil pula akan menikmati penurunan kadar surcaj daripada 20 sen/kWj kepada 17 sen/kWj yang diterjemahkan kepada penurunan bil elektrik antara 28% hingga 35% sebulan.
Apa yang lebih menarik, kerajaan turut memperkenalkan kategori baharu pengguna bukan domestik iaitu operator air dan pembentungan di negeri-negeri dengan kadar surcaj 3.7 sen/kWj. Sebelum ini, operator air dan pembentungan di negeri-negeri dikenakan kadar surcaj 20 sen/kWj.
Pengenalan kategori baharu ini dengan kadar surcaj yang jauh lebih rendah kepada operator air dan pembentungan sebenarnya akan memberikan impak positif kepada rakyat dengan memastikan kerajaan-kerajaan negeri dapat kekal membekalkan air percuma atau memastikan tarif air tidak mengalami sebarang kenaikan melalui penjimatan kos di peringkat pemprosesan bekalan air.
Ia juga sebenarnya boleh membantu operator air negeri bermasalah seperti di Kedah dan Kelantan kerana penjimatan pengunaan elektrik yang dinikmati akan mewujudkan lebihan dana untuk kerja-kerja baik pulih bekalan air kepada rakyat negeri tersebut.
Kesimpulan
Pelarasan tarif elektrik yang diumumkan seminggu sebelum Aidiladha 1444H jelas sekali mengambil kira kepentingan rakyat secara keseluruhan. Ternyata, tidak ada beban kepada rakyat dalam pelarasan yang dilaksanakan untuk tempoh 1 Julai hingga 31 Disember 2023.
Apa yang lebih menarik, hasrat kerajaan untuk memberikan subsidi elektrik secara bersasar terlaksana dengan pengenalan surcaj 10 sen/kWj kepada pengguna domestik dengan penggunaan elektrik tinggi melebihi 1,500 kWj atau bersamaan RM708 sebulan. Ini tentu sekali golongan mahakaya yang mewakili 1% (bukannya 20% atau T20 seperti yang digembar-gemburkan) dari keseluruhan pengguna domestik TNB.
Pun begitu, kerajaan masih menanggung subsidi sebanyak RM58 juta khas untuk kategori 1% ini memandangkan surcaj ICPT tidak dilepaskan sepenuhnya, selain subsidi lain sebanyak RM5.2 bilion untuk lagi 99% pengguna domestik TNB yang lain.