Pada 21 Mac yang lalu kita telah menyambut Hari Hutan Antarabangsa.
Hari Hutan Antarabangsa kali pertama diraikan pada 21 Mac 2013 susulan resolusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.
Hari Hutan Antarabangsa disambut untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan hutan, pemeliharaan dan pemuliharaannya demi kesejahteraan masyarakat dan kestabilan alam sekitar. Negara anggota disarankan untuk menganjurkan aktiviti bertemakan hutan atau pokok bagi mewujudkan kesedaran masyarakat seperti program penanaman pokok atau pembelajaran tentang kepentingan hutan.
Tema sambutan Hari Hutan Antarabangsa untuk 2024 adalah Hutan Dan Inovasi (Forests And Innovation). Tema ini memberi memberi penekanan terhadap kepentingan inovasi dalam sektor perhutanan sebagai penyelesaian baharu untuk kelestarian alam dan dunia yang lebih baik.
Malaysia adalah sebuah negara yang kaya dengan liputan hutan dan merupakan antara negara megadiversiti utama di dunia. Justeru itu peranan yang dimainkan oleh Malaysia dalam mempelopori sektor perhutanan adalah penting sebagai warisan kepada masyarakat dunia.
Kita perlu berasa bangga pada masa yang sama, Malaysia juga antara negara pelopor inovasi dengan kedudukan inovasi yang baik di kalangan negara sedunia. Malahan dalam sektor perhutanan, penerapan inovasi ini jelas ketara dan diamalkan secara meluas.
Malaysia Dan Inovasi Sektor Perhutanan
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Jabatan Perhutanan Sabah, Jabatan Hutan Sarawak dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) telah melaksanakan pelbagai usaha inovasi dalam sektor perhutanan Malaysia demi memastikan ia sentiasa berkembang dan relevan mengikut peredaran masa.
Ia sekaligus dapat menambah baik pelaksanaan amalan pengurusan hutan secara malar dan membantu organisasi membuat keputusan secara cekap, tepat dan berkesan.
Aktiviti pencerobohan dan penerokaan hutan, pembalakan haram, perubahan litupan hutan dan insiden kebakaran hutan terutamanya dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) dapat dipantau dan dikesan dengan penggunaan teknologi seperti satelit, dron dan Sistem Maklumat Geografi (Geographic Information System-GIS).
Dalam hubungan ini, JPSM telah menubuhkan sebuah bilik gerakan (war room) yang menjadi pusat sehenti (one stop centre) dan menggunakan sistem seperti e-Geospatial Perhutanan (e-GP), Forest Monitoring Using Remote Sensing (FMRS Plus) dan Forest Fire Big Data Analytics (BDA) bagi tujuan pemantauan kawasan berhutan di Semenanjung Malaysia.
Manakala, Jabatan Perhutanan Sabah pula dengan kerjasama Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) telah membangunkan sistem iForSabah bagi aktiviti pemantauan hutan di Wilayah Sabah untuk mengesan dan memantau sebarang aktiviti perhutanan di Negeri Di Bawah Bayu itu.
Untuk Wilayah Sarawak pula, sistem Continuous Monitoring of Surveillance (COMOS) yang menggabungkan analisa imej satelit dan mengesahkan titik koordinat dengan menggunakan pesawat yang dilengkapi sistem cerapan udara hiperspektral telah dibangunkan oleh Jabatan Hutan Sarawak bagi membantu tindakan penguatkuasaan dan pemantauan sumber asli negara di Bumi Kenyalang.
FRIM pula telah membangunkan teknologi sains forensik seperti pengecaman kayu melalui kaedah Deoxyribonucleic Acid (DNA) bagi membantu JPSM melaksanakan siasatan dalam kes-kes kesalahan hutan di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 [Akta 313]. Ia membolehkan JPSM menjalan proses identifikasi spesies kayu serta pengesanan asal usul geografi di sepanjang rantaian penjagaan (chain-of-custody).
Pada masa ini, FRIM telah mewujudkan pangkalan data DNA (barkod DNA) bagi membantu industri perkayuan untuk mensahihkan spesies kayu untuk 12 spesies pokok tropika penting seperti Bakau Kurap, Bakau Minyak, Chengal, Kapur, Karas, Keladan, Kempas, Merbau, Meranti Bukit, Meranti Seraya, Meranti Tembaga dan Ramin Malawis.
Dalam bidang penanaman semula hutan, Jabatan Hutan Sarawak melalui penghasilan bebola benih yang dikenali sebagai Sarabom melalui Projek Seed Ball: Throw and Grow telah dilaksanakan sebagai salah satu usaha penghijauan dan restorasi hutan terosot di Wilayah Sarawak. Penanaman semula hutan dengan dron khas dan alat Seedball Blaster telah menjimatkan masa dan kos di samping menggantikan kaedah konvensional yang memakan masa dan rumit.
Untuk hutan paya laut yang tidak kurang pentingnya juga, teknik penanaman inovatif, iaitu Comp-Mat dan Comp-Pillow di kawasan hutan paya laut yang berisiko telah dihasilkan oleh FRIM.
Bagi mengurangkan kesan ombak untuk tujuan pengekalan hutan paya laut, JPSM pula telah bekerjasama dengan Jabatan Pengairan dan Saliran dalam menghasilkan inovasi struktur pemecah ombak dan pencegah hakisan seperti wave attenuator di Sungai Kilim, Langkawi, Kedah dan coastal block di Tanjung Piai, Johor.
JPSM juga melalui inovasi pendigitalan berteraskan Internet of Things (IoT) sedang giat melaksanakan Projek Pendigitalan Sumber dan Operasi Hutan (PSOH) di Semenanjung Malaysia bagi menggantikan sistem kerja manual bagi sebahagian proses pengusahasilan hutan di Jabatan Perhutanan Negeri (JPN). Inovasi ini akan dapat meningkatkan kecekapan dan produktiviti khususnya dalam perancangan, pengurusan dan pemantauan hasil hutan selain menjadi pemangkin ke arah transformasi maklumat yang komprehensif dan berkualiti.
NRES sebagai kementerian bertanggungjawab untuk memastikan khazanah hutan negara terpelihara telah menyediakan insentif kewangan bagi konservasi biodiversiti dan hutan (Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation - EFT) untuk memperkasakan Kerajaan-kerajaan Negeri dalam memulihara dan mewartakan kawasan perlindungan.
Peruntukan EFT ini dapat dimanfaatkan bagi melaksanakan pelbagai program dan aktiviti pemeliharaan dan pemuliharaan hutan dan kepelbagaian biologi dan ia telah ditingkatkan kepada RM200 juta pada tahun 2024.
Jelas sekali, inovasi dalam sektor perhutanan merupakan elemen penting dalam mendepani cabaran alam sekitar global dan keperluan dalam memelihara hutan untuk generasi akan datang melalui gabungan sains dan teknologi serta penglibatan masyarakat.
Penggunaan teknologi terkini dan kesedaran terhadap kepentingan inovasi dalam mencari penyelesaian baharu demi memelihara dan memulihara khazanah hutan negara hendaklah terus diperkukuh dalam mengekalkan kelestarian alam.
Ia juga adalah bukti kerajaan akan terus komited untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah negara dilitupi pokok-pokok dan kawasan hutan selaras dengan komitmen negara semasa Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro, Brazil pada 1992.