latest

Perak: Peneraju Hutan Simpan Kekal Di Malaysia

Pada 30 April 2024, Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah telah berkenan menyempurnakan perasmian Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2024 di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya, Ipoh, Perak.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Keberangkatan tiba baginda disambut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad serta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Sebagai simbolik perasmian, Sultan Nazrin telah menyiram pokok mencepu (Garcinia Prainiana) yang yang kelihatan seperti pokok manggis tetapi mengeluarkan buah seakan tomato yang berwarna hijau ketika muda dan bertukar oren apabila masak dengan rasanya yang masam dan kelat di penghujung.

Baginda juga turut berkenan menanam pokok Ipoh yang merupakan asal nama kepada bandar raya Ipoh selain menyerahkan anak pokok kepada kerajaan negeri untuk ditanam.

Hari Hutan Antarabangsa disambut pada 21 Mac setiap tahun dengan matlamat untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan hutan serta pemeliharaan dan pemuliharaannya. Tema sambutan tahun ini adalah Hutan dan Inovasi.

Di peringkat kebangsaan, tarikh sambutan yang dipilih tahun ini adalah pada 30 April dan Perak bertuah menjadi tuan rumah kepada sambutan Hari Hutan Antarabangsa peringkat kebangsaan.

Peneraju Hutan Simpan Kekal

Sebenarnya, pemilihan Perak selaku tuan rumah adalah bertepatan dengan status negeri itu yang kini menerajui pewartaan Hutan Simpan Kekal (HSK) di Malaysia sebagai negeri dengan liputan HSK tertinggi di Semenanjung Malaysia.

Jumlah keluasan keseluruhan HSK di Perak setakat 31 Mac 2024 adalah sejumlah 988,826.98 hektar iaitu 96.4 peratus daripada keluasan kawasan berhutan di negeri tersebut.

Pada tahun lalu sahaja kerajaan negeri Perak telah berjaya mewartakan seluas 4,655.55 hektar HSK baharu. HSK yang baru diwartakan ini terdiri dari 4,520.75 hektar hutan darat dan 134.80 hektar hutan paya laut.

Keluasan HSK yang ada ini adalah sebanyak 47 peratus dari keluasan negeri sekaligus mengekalkan status Perak sebagai negeri yang mempunyai HSK tertinggi di Semenanjung Malaysia.

Perak kini dalam usaha untuk mewartakan kawasan hutan paya laut seluas 356.12 hektar di Tanah Kerajaan Mukim Kuala Kurau sebagai HSK yang baharu. Kesungguhan kerajaan negeri dalam melindungi hutan paya laut sewajarnya mendapat pujian kerana hutan begini tidak kurang pentingnya dengan hutan darat yang lebih banyak dijadikan HSK.

Keluasan Taman Negeri Royal Belum yang telah berjaya mencapai akreditasi berprestij Pemuliharaan Terjamin|Standard Harimau (CA|TS) pula dipertingkat daripada 117,500 hektar kepada 128,271.69 hektar dan pengurusan penambahan kawasan itu akan dijalankan secara lebih menyeluruh supaya ekosistem dapat dipulihara dengan berkesan.

Jumlah HSK yang banyak di Perak ini dimanfaatkan dengan pelaksanaan hutan lipur atau kini dijenamakan semula sebagai Taman Eko Rimba yang memanfaatkan eko pelancongan dan pendekatan hutan bukan untuk pengeluaran kayu kayan semata.

Di Perak kini sejumlah 13 hutan lipur atau Taman Eko Rimba tersedia untuk aktiviti-aktiviti rekreasi seperti beristirehat, beriadah, bersukan, memelihara flora dan fauna, pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan dan lain-lain.

Dalam Program Penghijauan Malaysia yang melibatkan penanaman pokok, negeri Perak juga telah berjaya menanam sejumlah 7.88 juta pokok di seluruh negeri dalam memenuhi tanggungjawab pemuliharaan hutan. Jumlah ini jauh melebihi sasaran yang ditetapkan kerajaan Persekutuan iaitu sebanyak enam juta pokok. Ia juga membolehkan lebih 16 ribu hektar kawasan ditanam dengan pokok.

Kerjasama Negeri Dan Persekutuan

Usaha-usaha kerajaan negeri dalam melindungi hutan pastinya memerlukan sokongan dari pihak kerajaan Persekutuan. Pengenalan Ecology Fiscal Transfer (EFT) bermula dengan RM60 juta setahun (2019) dan RM70 juta setahun (2021 dan 2022) adalah satu insentif yang baik bagi tujuan tersebut.

Di bawah kerajaan Perpaduan Madani, jumlah EFT telah ditingkatkan kepada RM150 juta setahun (2023) dan RM200 juta setahun (2024), petanda kepada komitmen kerajaan hari ini terhadap kepentingan hutan dalam membangun Malaysia Madani.

Hutan memainkan peranan penting menyediakan perkhidmatan alam sekitar - udara segar, merendahkan suhu, habitat hidupan liar, kawasan tadahan air, mencegah banjir dan tanah runtuh. Justeru usaha-usaha memelihara dan memulihara hutan perlu dilipatgandakan dan pewartaan HSK adalah satu kaedah dalam memastikan liputan hutan yang meluas.

Author image
Demokrat sosial yang percaya bahawa melindungi alam sekitar adalah tindakan demokratik dan sosialis yang tidak boleh diabaikan.
You've successfully subscribed to Kapten Bumi
Great! Next, complete checkout for full access to Kapten Bumi
Welcome back! You've successfully signed in.
Unable to sign you in. Please try again.
Success! Your account is fully activated, you now have access to all content.
Error! Stripe checkout failed.
Success! Your billing info is updated.
Error! Billing info update failed.