Perubahan iklim yang melampau membawa kepada kemarau yang panjang, peningkatan suhu air laut, bongkah ais yang mencair di Greenland dan Antartika serta peningkatan paras laut. Kita kerap kali didendangkan dengan isu-isu alam sekitar seperti ini di media massa.
Namun, kesan yang paling memberikan impak kepada penduduk di negara pada masa ini ialah kejadian banjir kilat yang kerap kali berlaku. Bayangkan, banjir sesudah hujan selama tiga hari berturut-turut di lapan buah negeri pada tahun 2021 mengakibatkan kerugian harta benda yang dianggarkan berjumlah RM15 bilion.
Iklim yang berubah secara mendadak ini sebenarnya berlaku disebabkan pemanasan iklim global. Kajian mendapati suhu global telah meningkat sebanyak 0.85 darjah Celcius dalam tempoh seabad lalu dan dijangka terus meningkat dengan purata enam darjah Celsius dalam tempoh seabad yang akan datang.
Tahukah anda, negara kita sendiri pernah mencatatkan suhu purata terendah iaitu 21.3 darjah Celcius pada tahun 1976. Namun, pada tahun 2016, suhu purata terendah yang dicatatkan hanya pada kadar 23.1 darjah Celcius, manakala suhu tertinggi yang dicatatkan pula adalah pada kadar 31.2 darjah Celcius.
Ini membawa kepada persoalan apa yang sedang dan akan dilakukan oleh kuasa-kuasa besar dunia melalui Perjanjian Paris mengenai pemanasan global.
Latar Belakang Perjanjian Paris 2015
Di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), perubahan iklim sering kali dibincangkan dan didepani sebagai salah satu daripada isu jangka panjang yang paling kritikal pada abad ke-21. Untuk maksud tersebut, maka Perjanjian Paris 2015 telah diusahakan dengan jayanya oleh Persidangan Konvensyen Rangka Kerja mengenai Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC). Ia telah menggantikan perjanjian sebelum ini yang dikenali sebagai Kyoto Protocol pada tahun 1997.
Perjanjian Paris ini dimeterai oleh sebanyak 169 negara di dunia yang mencapai kata sepakat bagi memastikan had pemanasan global di bawah 2 darjah Celcius. Pemanasan global bukalah sesuatu yang boleh dihentikan, namun ianya mampu dihadkan. Menurut perjanjian ini, had pemanasan global seboleh-bolehnya hanya pada kadar 1.5 darjah Celsius, berbanding pada paras zaman praperindustrian.
Perjanjian ini turut mensasarkan untuk memperlahankan atau menghentikan kehilangan Lembaran Ais di kawasan Antartika dan kesannya dalam meningkatkan paras laut.
Perjanjian ini membawa lembaran baharu kepada tamadun manusia sejagat kerana buat kali pertama, satu perjanjian yang mengikat negara anggota PBB berjaya dimuktamadkan. Ini bagi membolehkan semua negara bagi mengambil tindakan memerangi perubahan iklim dan memperkenalkan adaptasi yang sewajarnya.
Komitmen Malaysia Di Dalam Perjanjian Paris
Sebagai salah sebuah negara yang menandatangani Perjanjian Paris pada tahun 2015, tentu sekali Malaysia tidak terlepas dengan pelbagai komitmen dan adaptasi yang perlu direncana dan dilaksanakan. Setiap lima tahun sekali, Malaysia perlu menyediakan dan mengemukakan sasaran pengurangan pelepasan gas rumah kaca (greenhouse gases – GHG) yang dikenali sebagai Nationally Determined Contributions (NDC) kepada UNFCCC.
Sebelum ini, Malaysia telah mengemukakan Intended NDC (INDC) kepada UNFCCC pada 27 November 2015. Kemudiannya, Malaysia menyediakan sasaran NDC yang terbaru pada Julai 2021. Menurut NDC 2021 tersebut, Malaysia berhasrat untuk mengurangkan intensiti pelepasan GHG berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) sebanyak 45% berbanding intensiti pelepasan pada tahun 2005 menjelang tahun 2030.
Menurut UNDP, Malaysia melepaskan 0.77% gas rumah kaca berbanding negara-negara lain di dunia. Berbanding negara-negara kuasa besar dunia, jumlah ini sebenarnya sangat kecil. China dilaporkan melepaskan 27% gas rumah kaca pada tahun 2019, manakala Amerika Syarikat pada kadar 11%. Berbanding negara serantau pula, Singapura melepaskan 0.11% gas rumah kaca, Indonesia berada pada kadar 3.4% dan Thailand pada kadar 0.85%.
Persepsi Umum Mengenai Gas Rumah Kaca
Kajian mengenai projek Global Methane Pledge yang dikendalikan oleh Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya telah menilai status serta prospek pelepasan metana di Malaysia. Kajian ini dilaksanakan menerusi kajian literatur, tinjauan awam dan perbincangan kumpulan fokus.
Perspektif umum menunjukkan bahawa daripada 427 respons soal selidik yang dijalankan pada April dan Mei 2022 masih menunjukkan kesedaran yang rendah dalam kalangan orang ramai mengenai potensi metana sebagai sebahagian daripada gas rumah kaca. Seramai 58 peratus responden juga masih tidak tahu tentang metana dalam konteks perubahan iklim. Ini menunjukkan bagaimana kesedaran umum mengenai sektor yang menyebabkan pelepasan tinggi di Malaysia juga masih rendah.
Mengadaptasi kehidupan yang lebih lestari ini bukan sahaja terletak di pundak kerajaan semata-mata. Kita sendiri boleh melakukannya dengan pelbagai langkah mudah seperti menjimatkan penggunaan tenaga elektrik di rumah, mengurangkan sebarang pembakaran terbuka serta menggunakan pengangkutan awam dengan lebih kerap.
Hanya dengan sinergi antara kedua-dua usaha ini; baik di peringkat kerajaan mahupun kita sendiri akan dapat membantu mengawal peningkatan suhu bumi.