latest

Perubahan Iklim Makin Mengganas: Nasib Siapa Paling Malang?

Dua tahun lalu, kita dikejutkan dengan kematian tiga orang mangsa akibat daripada banjir kilat yang berlaku di Baling. Banjir tersebut juga mengakibatkan lebih 1,400 penduduk terpaksa dipindahkan ke tiga pusat pemindahan sementara (PPS), selain tujuh rumah musnah dan kira-kira 70 kediaman lagi rosak.

Seperti biasa, kerajaan negeri yang dipimpin khususnya oleh Parti Islam Se-Malaysia (PAS) akan berdolak dalih tentang punca banjir berkenaan berlaku. Skrip biasa yang direncana pasukan perhubungan awam (PR) mereka bahawa apa-apa bencana alam berlaku secara semula jadi seperti fenomena kepala air dan bukannya oleh tindak-tanduk manusia rakus.

Walhal penduduk yang telah tinggal lama di situ pun tahu bahawa banjir kilat itu adalah bersangkutan dengan projek tanaman durian seluas kira-kira 1,200 hektar yang diusahakan di puncak Gunung Inas.

Untuk rekod, banjir tersebut adalah yang keempat berlaku dalam tempoh setahun di negeri Kedah. Tiga banjir terdahulu yang berlaku di Yan, Kedah di antara Ogos dan Oktober 2021 telah mengakibatkan enam kematian dan ratusan rumah dan premis perniagaan musnah.

Menurut laporan, Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor menyatakan bahawa banjir tersebut juga berlaku disebabkan oleh kejadian kepala air di kawasan air terjun di kaki Gunung Jerai.

Walaubagaimanapun dalam laporan berasingan, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) mendakwa bahawa banjir di Yan berkemungkinan adalah disebabkan oleh aktiviti penebangan hutan bagi tujuan projek kuari di kawasan Hutan Simpan Gunung Jerai yang telah giat dijalankan sejak lebih 10 tahun yang lalu.

Begitulah kerajaan PAS. Bila sudah berkuasa hati terus jadi buta. Bermacam-macam alasan diberikan sekiranya berlaku kecelakaan menimpa rakyat bawahan biarpun sedia diketahui bahawa setiap kejadian alam yang berlaku itu pasti disebabkan oleh pencerobohan hutan dan penebangan pokok.

Berbanding mencari jalan bagi membina ekonomi dengan cara yang lebih mapan dan mesra alam, mereka memilih jalan pintas yang kemudiannya membawa kerosakan kepada alam sekitar dan kemudaratan kepada masyarakat sekeliling, termasuklah pengikut-pengikut taksub mereka.

Justeru, dalam penulisan kali ini, saya mengajak kita untuk merenung dan menilai siapakah yang paling terkesan akibat perilaku-perilaku jelik pemimpin-pemimpin sebegini. Sama ada pemimpin politik elit, kah? Golongan pemaju dan pemodal rakus, kah? Atau golongan marhaen lagi miskin seperti kebanyakan daripada kita?

Memahami Perubahan Iklim

Tapi sebelum kita betul-betul meneliti siapa yang paling bernasib malang akibat kejadian alam seperti ini, adalah lebih baik untuk kita memahami makna sebenar perubahan iklim terlebih dahulu.

Seperti yang kita tahu, kejadian banjir yang semakin kerap terjadi kebelakangan ini adalah sebahagian daripada kesan fenomena perubahan iklim.

Fenomena perubahan iklim ini secara asasnya adalah meliputi perubahan mendadak pada pola cuaca dan suhu udara yang diakibatkan terutamanya oleh aktiviti pembakaran bahan api bagi tujuan industri perkilangan dan pengangkutan serta penerokaan hutan bagi tujuan pembalakan, perladangan dan perumahan.

Apabila aktiviti pembakaran bahan api dijalankan, ianya akan mengeluarkan gas karbon dioksida dan metana ke lapisan atmosfera. Dengan ketiadaan pokok-pokok yang hilang akibat penerokaan hutan untuk menyerap kembali gas karbon dioksida dan metana sebagai bahan respirasi serta menukarnya kepada gas oksigen, maka gas dioksida dan metana ini akan terkumpul dengan banyak melebihi had yang sepatutnya.

Keadaan ini pula akan mengakibatkan perubahan pada pola cuaca dan suhu udara setempat. Perubahan yang mendadak ini kemudiannya membawa kepada kejadian seperti peningkatan gas rumah hijau, pemanasan global, kemarau panjang, banjir besar dan gangguan pada biodiversiti flora dan fauna.

Jika diamati, kejadian-kejadian begini akan memberi kesan besar kepada kehidupan manusia tidak kira bangsa atau pegangan agama lebih-lebih lagi kepada golongan berpendapatan rendah.

Impak Kepada Pekerja Berkemahiran Rendah

Cuaca panas melampau yang kerap berlaku kebelakangan ini akan memberi kesan kepada pekerja berkemahiran rendah seperti pekerja sektor binaan dan sektor perladangan.

Pekerja-pekerja berkemahiran rendah ini bukannya seperti pekerja-pekerja berkemahiran tinggi atau pun menteri-menteri yang bekerja di dalam pejabat mewah yang dilengkapi oleh sistem penghawa dingin. Tidak kira panas, mendung atau hujan, pekerja berkemahiran rendah tetap bekerja bertungkus-lumus kerana itu adalah satu-satunya cara untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Namun, risiko yang menanti begitu tinggi. Dalam kajian yang dijalankan oleh Maria Nilsson dan Tord Kjellstrom (2010) yang bertajuk “Climate Change Impacts On Working People: How To Develop Prevention Policies”, perubahan iklim berisiko mengakibatkan kesan langsung seperti keletihan haba dan strok haba.

Dalam masa sama, suhu panas melampau juga boleh mengakibatkan kesan tidak langsung seperti peningkatan risiko penyakit berjangkit, perubahan taburan hujan dan corak penyebaran penyakit bawaan vektor, kekurangan zat makanan, masalah air dan sanitasi, dan kecederaan.

Impak Kepada Pengusaha Pertanian Dan Makanan

Kemarau panjang dan banjir besar pula akan memberi kesan kepada aktiviti pertanian dan pengeluaran bahan makanan. Apabila keadaan menjadi tidak menentu, sukar untuk pengusaha ladang ternakan dan tanaman bagi menguruskan hasil tani mereka.

Cuaca panas misalnya akan membawa kepada masalah seperti penurunan kelembapan tanah dan pengurangan taburan air hujan bagi tujuan irigasi yang sudah tentu akan mengganggu kitaran hidup, pembantutan proses tumbesaran haiwan ternakan dan tanaman selain peningkatan risiko jangkitan penyakit.

Banjir besar pula berisiko untuk mengakibatkan haiwan ternakan dan tanaman mati akibat ditenggelami air. Bukan itu sahaja, banjir besar turut berisiko untuk mengakibatkan kerugian jutaan ringgit disebabkan oleh kerosakan kandang haiwan ternakan, sistem yang digunapakai serta aset-aset seperti jentolak dan mesin pemprosesan.

Peristiwa malang sebegini sudah tentu akan memberi kesan kepada golongan petani kecil yang masih menjalankan pertanian dengan cara konvensional. Hasil tani mereka pula sangatlah bergantung kepada cuaca yang menentu serta ketiadaan kejadian bencana alam.

Berbeza pula dengan pertanian yang diusahakan oleh syarikat-syarikat gergasi, pertanian mereka kebiasaannya telah dilengkapi oleh teknologi moden serta dijalankan di tempat tertutup. Kelengkapan yang ada ini membantu syarikat-syarikat gergasi bagi mengawal suhu dan kelembapan persekitaran yang kemudiannya membantu untuk memastikan pengeluaran dapat dijalankan secara optimum di samping kualiti dan kuantiti yang lebih terjamin.

Impak Kepada Kuasa Beli Pengguna Berpendapatan Rendah

Impak kepada kuasa beli pengguna berpendapatan rendah ini adalah rentetan kepada pengurangan keluaran produk pertanian dan sumber makanan.

Sama seperti yang kita alami ketika ini, apabila berlakunya kejadian bencana alam seperti kemarau panjang atau banjir besar, ianya pasti akan mengakibatkan berlaku gangguan dalam rantaian pengeluaran pertanian dan makanan. Keadaan ini kemudiannya pula menyebabkan kejatuhan jumlah bekalan berbanding dengan jumlah permintaan.

Apabila keadaan ini berlaku, maka ianya akan membawa kepada peningkatan harga mendadak barangan pertanian dan makanan berkenaan. Tidak kira pasar raya, kedai runcit atau restoran, para pengusahanya tidak mempunyai pilihan lain selain mengenakan caj dan bayaran yang lebih tinggi kepada pengguna akhir.

Keadaan ini sudah tentu akan menyebabkan berlakunya inflasi yang kemudiannya akan memberi kesan kepada penurunan kuasa beli pengguna, khususnya yang berpendatan rendah. Kalau dulu dengan harga RM50, pengguna dapat membeli sekurang-kurangnya dua kampit beras 10 kg, tetapi pada saat ini mereka hanya mampu membeli sebotol minyak masak 5 kg.

Berbanding dengan golongan berpendapatan tinggi, penurunan kuasa beli pengguna ini memberi kesan kepada agihan disposable income keluarga berpendapatan rendah. Bagi memenuhi tuntutan keperluan makan minum keluarga yang semakin mahal, mereka tidak punya pilihan lain melainkan mengorbankan keperluan lain termasuklah pendidikan dan kesihatan anak-anak.

Justeru, jangan hairan sekiranya ada keluarga yang tidak mampu menghantar anak-anak ke sekolah atau melakukan regular check-up di hospital akibat dari tekanan yang bermula dari kerosakan alam sekitar itu tadi.

Rumusan

Kerajaan haruslah bertindak dengan segera bagi menghadapi risiko yang berlaku akibat daripada fenomena perubahan iklim di samping bertindak tegas terhadap mana-mana pihak yang sengaja mengakibatkan kerosakan alam sekitar. Hukuman yang setimpal haruslah diberikan kepada mereka.

Dalam masa sama, pihak kerajaan juga perlu kreatif dalam mencari cara bagi meningkatkan pembangunan ekonomi negara kita tanpa perlu mengorbankan keindahan dan kelestarian alam semula jadi.

Bagi rakyat, khususnya yang masih taksub terhadap pimpinan PAS yang begitu sinonim dengan aktiviti pembalakan dan penerokaan hutan supaya sedar dan berhenti menyokong mereka. Sesungguhnya pemimpin yang kamu sanjung itu sedang merosakkan masa depan anak cucu kamu.

Author image
Berasal dari Sarawak dan minat menulis mengenai topik kepimpinan, keadilan dan kebebasan. Beliau percaya setiap rakyat berhak untuk mendapat akses yang lebih baik kepada informasi kritikal.
You've successfully subscribed to Kapten Bumi
Great! Next, complete checkout for full access to Kapten Bumi
Welcome back! You've successfully signed in.
Unable to sign you in. Please try again.
Success! Your account is fully activated, you now have access to all content.
Error! Stripe checkout failed.
Success! Your billing info is updated.
Error! Billing info update failed.