“Pernah dengar hikayat Puteri Pohon Ketapang?” Tiba-tiba dia bertanya.
Aku menggelengkan kepala. Tanpa bertanya sama ada aku berminat mendengar atau tidak, bibir mungil tercalit nipis Camellia Pink koleksi Forest Colour terus meluncurkan kata.
Sungguh dia mencintai hutan belantara, pohon-pohon dan apa sahaja yang terkait dengannya. Sehinggakan barangan kosmetik peribadi pun mahu berjenama ‘hutan’. Aku pernah menyakat dengan mencadangkan dia mengemam kelopak bunga. Biar di bibirnya seratus peratus warna asli. Lebih semula jadi. Cadangan itu mati ditikam kejam jelingan tajam.
Ketika makan tadi dia mengadu, seminggu lalu sewaktu menghadiri suatu forum isu alam sekitar di ibu kota, mewakili pertubuhan bukan kerajaan yang disertainya secara sukarela, ada pihak menuduh aktivis alam sekitar golongan anti pembangunan. Persoalan bersulam prejudis diterima seperti, mengapa bersungguh benar mempertahankan hutan? Apa berdosakah mengambil hasil hutan, menikmatinya demi pembangunan? Sampai bila orang Asli mahu duduk di dalam hutan? Mereka perlu keluar. Hidup moden, terima hakikat perubahan.
“Kenapa ya, bila sebut soal pembangunan, kemodenan, kita cuma fikir tentang membina bangunan?” Soalnya sambil mencedok sambal kicap dari balang kaca, menambah perisa sup di hadapannya yang masih berasap. Damai bagiku adalah kombinasi ringkas bayu pantai dan dia yang berbicara, bercerita di hadapanku.
“Anti pembangunankah jika yang diperjuangkan itu pembangunan lestari? Pembinaan yang tidak kembali menyusahkan manusia, rakyat. Yang setidak-tidaknya mengurangkan risiko kejadian tanah runtuh, banjir kilat, dan sungai tercemar. Nak bina bangunan untuk kediaman, perindustrian, pelancongan, atau apa saja, silakan. Tapi yang dibantah tu pembangunan tanpa pelan yang cermat. Pelan yang langsung tidak menjunjung hormat pada alam. Tidak mengira di atas tanah jenis apa projek-projek diluluskan, tidak disemak luas baki hutan zon tadahan hujan, kesan projek kepada haiwan setelah dirosakkan habitat, kesan sosial kepada masyarakat orang Asli yang dipaksa keluar dari hutan, hilang jati diri, akhirnya jadi masyarakat penagih subsidi. Jadi mainan ahli-ahli politik yang ‘lapar kerusi’ saja.”
Aku mengangguk-angguk setuju sambil meneguk kopi ‘O’ ais dan memahami bahawa, mendengar – itulah perananku pada pertemuan hari ini.
“Hutan paya gambut terakhir di daerah utara baru-baru ni dah dinyahwarta. Hm, sebab nak luluskan projek lagi. Padahal hutan jenis ni penting, menyerap hujan dan bertindak seperti span. Sifatnya menyimpan air. Bila musim kemarau, air dialir keluar jadi tidaklah kering-kontang. Tapi itulah, bila ‘water catchment area’ dinaikkan bangunan, air hujan dah tak boleh ke mana. Kena pula musim air pasang. Banjir.” Dia menyambung kuliah hutannya.
Tiba-tiba, “Eh terlupa. Puteri tu, hikayatnya begini. Pada zaman dahulu, di sebuah negeri, ada seorang raja.” Dia ketawa. “Mestilah seorang raja kan, kalau raja ada dua, hmm… perang.” Ketawa lagi.
“Okay, jadi raja yang seorang itu kenapa?” Tanyaku.
“Permaisuri raja tu melahirkan seorang puteri. Kemudian, berlaku persengketaan dengan pari-pari jahat. Demi menyelamatkan puteri, raja menyembunyikannya di atas pohon ketapang. Maka hiduplah sang puteri, membesar di atas pohon ketapang. Sekian.”
Aku tersenyum. Dia selalu begitu. Banyak koleksi cerita yang boleh diceritakannya secara rawak. Katanya dia lancar membaca di usia sebelum sekolah. Itu membuatkan peluangnya berdampingan dengan pelbagai buku terbuka lebih awal. Tidak hairan kini, setiap perkara yang dilihat akan mencetuskan ingatan terhadap bacaan fantasi zaman kecilnya.
“Puteri tu kawan dengan siapa di atas pohon ketapang?” Tanyaku serius. Atau jujurnya, buat-buat terlihat serius.
“Burung-burung, dan pari-pari baik.” Jawabnya yakin. Seperti benar-benar seorang manusia mampu tinggal di atas pokok.
Beep beep!
Kunci kereta dibuka. Sebelum menutup pintu, sempat kulihat matanya yang teduh menikmati rimbun pohon-pohon ketapang atau nama botaninya Terminalia catappa, terletak berhampiran tempat kami menjamu selera tadi – Warung Teduh Pohon Ketapang.
“Terima kasih pohon ketapang, sebab tumbuh dan melindungi tuan puteri.” Tuturku, lantas membuat kedua keningnya terangkat. Sebelum dia perasan hikayatnya itu hebat, aku lekas menyambung. “Dan sebab melindungi kereta ini. Kalau tak sebab teduh pokok ketapang, kita dah macam masuk ke dalam ketuhar juga ni.”