Biarpun ditanam secara besar-besaran di benua Afrika pada hari ini, coklat sebenarnya berasal daripada Amerika Selatan. Lebih tepat lagi, koko yang menghasilkan coklat merupakan tanaman penting di Mesoamerika sebelum penjajahan Sepanyol ke atas benua tersebut.
Seperti juga yang sedang kita nikmati pada hari ini, coklat turut digunakan sebagai minuman oleh tamadun-tamadun awal seperti Mayan dan Aztec. Pengenalan gula sebagai tambahan kepada minuman coklat pantas meningkatkan popularitinya ke benua Eropah dan akhirnya di seluruh dunia.
Hanya pada tahun 1828, Conrad J. van Houten menemui teknik bagi menghasikan coklat dalam betuk kepingan seperti yang kita biasa nikmati. Pada hari ini, coklat merupakan makanan ringan yang paling popular di seluruh dunia dengan anggaran nilai pasaran pada tahun 2023 mencecah hampir 133.32 bilion USD.
Coklat juga sinonim dengan pelbagai sambutan perayaan dan digunakan bagi meraikan kejayaan sebagai simbol kegembiraan. Sebut sahaja perayaan seperti krismas, tahun baru, sambutan hari ibu, hari kekasih dan hari guru misalnya. Pada hari-hari penting ini, coklat akan dibungkus dengan kemas dan bertukar tangan sebagai hadiah yang istimewa.
Namun begitu, tahun demi tahun pelbagai kontroversi dapat kita saksikan terkait dengan industri yang sangat bernilai tinggi ini. Koko ditanam secara meluas di barat Afrika, di Ghana dan Ivory Coast yang merupakan pengeluar koko terbesar di dunia dengan menyumbang kepada 60 peratus pengeluaran.
Kemanisan coklat sebenarnya diselubungi dengan isu-isu meruncing seperti penculikan kanak-kanak sebagai buruh, pembayaran upah pekerja wanita yang lebih rendah dan penyahhutanan yang serius.
Ketaksamaan Jantina Yang Berleluasa Di Dalam Pembayaran Upah
The Fairtrade Foundation pernah melaporkan bagaimana realiti sebenar yang dihadapi oleh pekerja-pekerja wanita di ladang koko. Dengan tugas yang lebih dibebankan kepada pekerja wanita, mereka dibayar hanya 1/3 daripada pendapatan pekerja lelaki.
Secara purata, seorang pekerja wanita di ladang koko Ivory Coast menerima upah sebanyak RM1.38 sehari berbanding pekerja lelaki yang dibayar sehingga RM4.51 sehari. Pendapatan tidak seberapa itu juga sebenarnya jauh lebih rendah berbanding garis pendapatan golongan miskin tegar menurut Bank Dunia iaitu RM10.18 sehari.
Jurang pendapatan tersebut dibayar secara tidak adil walhal hampir kesemua tugas di ladang koko dilakukan oleh pekerja wanita. Ini termasuklah kerja-kerja seperti menanam dan menuai, mengupas buah koko, mengeringkan dan juga membungkus biji koko.
Ivory Coast kini menyumbang hampir 45 peratus daripada pengeluaran biji koko dunia, namun hanya menerima pulangan tidak sampai 4 peratus daripada keuntungan tahunan industri tersebut. Hak dan kebajikan pekerja wanita mereka pula sentiasa terabai hanya dek kerana perbezaan jantina yang masih lagi berleluasa oleh pengusaha-pengusaha ladang koko di negara tersebut.
Penggunaan Kanak-Kanak Sebagai Buruh
Hasrat awal penjajah yang membawa ladang koko ke benua Afrika adalah bagi mendapatkan hasil yang lumayan dengan bayaran upah yang sangat rendah. Seawal tahun 1880, Portugis telah mula membawa tanaman koko ke pulau Sao Tome. Sejak dari abad ke 19 lagi, ladang koko merupakan sarang kepada perhambaan moden masih lagi kekal sehingga hari ini.
International Labour Organization (ILO) menganggap penggunaan kanak-kanak di ladang koko sebagai masalah yang sangat kronik. Kanak-kanak kekal diperah sebagai buruh bagi menstabilkan dan mengekalkan kadar upah yang rendah bagi memaksimumkan keuntungan.
Laporan ILO menunjukkan seramai hampir 2.1 juta kanak-kanak digunakan sebagai buruh di Ivory Coast dan Ghana. Majoriti berusia antara 12 hingga 16 tahun, namun ada laporan yang menunjukkan kanak-kanak seawal usia 6 tahun sudah bekerja di ladang koko.
Kemiskinan mengurangkan peluang pekerjaan dan akses kepada pendidikan, begitu juga dengan tekanan keluarga yang menyebabkan kanak-kanak keluar membantu mencari rezeki. Pada mulanya, mereka akan bekerja di samping keluarga sebelum ditawarkan bekerja oleh pemilik-pemilik ladang koko yang lain dengan kadar upah yang kononnya lebih lumayan.
Kanak-kanak ini juga kebiasaannya akan diculik dan dikerah bekerja di negara-negara yang lebih miskin seperti Burkina Faso dan Mali. Mereka ini kemudiannya akan dipaksa untuk bekerja selama 16 jam sehari. Pernah direkodkan nilai jual beli buruh kanak-kanak ini adalah pada harga RM160.85 bagi seorang kanak-kanak di Ghana.
Penyahhutanan Yang Serius
Pemusnahan hutan yang tidak terkawal atas nama tanaman komoditi sebenarnya berlaku di seluruh dunia. Pembukaan ladang koko yang baru tidak terlepas daripada isu penyahhutanan yang serius. Ini diburukkan lagi dengan perubahan iklim yang semakin tidak menentu lantas mengurangkan jumlah pengeluaran buah koko.
Laporan World Wildlife Foundation (WWF) menunjukkan bagaimana peladang akan membersihkan hutan tropika baru untuk menanam pokok koko, berbanding dengan menggunakan semula tanah yang telah diteroka sebelum ini. Amalan ini telah mendorong kepada penyahhutanan secara besar-besaran di Afrika Barat. Sebanyak 70 peratus daripada penebangan hutan ini berlaku secara haram, dan ianya berkaitan dengan penanaman pokok koko.
Bagi menghasilkan 225g coklat sahaja, sepohon pokok koko memerlukan masa hampir setahun. Pokok koko yang makin tua juga akan menghasilkan buah koko yang berkurangan, menambahkan lagi masalah kekurangan koko bagi menampung permintaan yang semakin tinggi. Ini menyebabkan permintaan kepada pembukaan ladang koko yang baru semakin meningkat saban hari.
Pelbagai usaha sedang dilakukan oleh badan-badan antarabangsa bagi menangani isu-isu meruncing yang serius disebalik industri koko. Namun, dapatan-dapatan yang membimbangkan ini akan berterusan tanpa sebarang usaha dan tindakan tegas oleh masyarakat dunia yang hanya dahagakan air coklat hangat berjenama tanpa mengetahui jerih perih dan keringat disebaliknya.