Mesyuarat pertama persidangan parlimen penggal ketiga yang berlangsung sepanjang bulan mulia Ramadan yang lalu telah menyaksikan satu pencapaian penting dalam usahaka kerajaan membanteras pencemaran alam sekitar yang semakin berleluasa.
Bacaan Rang Undang-Undang (RUU) Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2023 telah dibahaskan dan diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 25 Mac 2024 dan seterusnya diluluskan di Dewan Negara pada 4 April 2024.
RUU ini bertujuan meminda Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 [Akta 127]
dengan menambah baik, memantapkan dan meningkatkan kadar penalti serta
kompaun bagi membolehkan tindakan tegas diambil ke atas penjenayah alam
sekitar. Untuk rekod pindaan kali ini adalah pindaan kali yang ketujuh sejak 1974. Pindaan kali terakhir Akta 127 dilakukan pada tahun 2012.
Secara keseluruhan ianya melibatkan pindaan 28 seksyen Akta 127, antaranya meliputi pemantapan hukuman penalti dengan julat kadar denda minimum tidak kurang daripada RM5,000, denda maksimum tidak melebihi RM10 juta. Ia juga melibatkan peningkatan kadar kompaun daripada tidak melebihi RM2,000 kepada tidak melebihi 50% daripada denda maksimum kesalahan berkaitan.
RUU ini juga menetapkan denda maksimum RM10 juta bagi kesalahan melibatkan
pencemaran air, pencemaran buangan minyak serta buangan di perairan
Malaysia dan pelupusan haram buangan terjadual.
Selain itu, penjara mandatori tidak melebihi tempoh 5 tahun dikenakan ke atas
kesalahan melibatkan pelupusan haram buangan terjadual, pencemaran air
dan ketidakpatuhan kepada keperluan Laporan Penilaian Kesan kepada Alam
Sekeliling (EIA).
Turut tidak diabaikan adalah pakaian seragam kepada semua pegawai JAS yang ditetapkan oleh Ketua Pengarah dan setaraf dengan agensi-agensi penguatkuasa yang lain.
Nyata sekali pindaan ini lebih memfokuskan kepada usaha memantapkan dan meningkatkan kadar penalti ke atas kesalahan-kesalahan berkaitan pencemaran alam sekitar. Ianya perlu kerana kadar penalti yang ditetapkan sebelum ini tidak lagi sesuai dengan situasi ekonomi semasa sehingga pelaku jenayah pencemaran alam sekitar tidak gentar melakukan kesalahan berulang kali.
Bahkan, tidak keterlaluan juga untuk dikatakan bahawa pelaku jenayah pencemaran merasakan membayar denda sebenarnya adalah jauh lebih murah berbanding menanggung kos pelupusan buangan terjadual justeru mereka mengambil jalan mudah untuk melakukan pelupusan haram.
Ketegasan melalui peningkatan denda ini adalah sebagai isyarat keseriusan
kerajaan dalam membanteras pencemaran dan jenayah alam sekitar di
Malaysia.
Adalah diharapkan pindaan akta ini dapat memantapkan penguatkuasaan, pencegahan pencemaran dan jenayah alam sekitar daripada terus berulang di samping mendidik pihak industri dan masyarakat untuk bersama-sama melestarikan alam sekitar.
Pindaan ini juga merupakan bukti komitmen Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dalam menangani krisis pencemaran alam sekitar yang boleh memberi impak negatif kepada kualiti alam sekitar, mengganggu gugat kesejahteraan rakyat dan kelangsungan aktiviti ekonomi negara.
NRES juga akan meneruskan usaha memperkasa Akta 127 melalui fasa kedua pindaan akta yang akan berbentuk substantif menjurus kepada isu-isu yang akan timbul berkaitan tadbir urus alam sekitar. Antaranya ialah mekanisme mengarus perdana alam sekitar (self-regulation), amalan industri hijau dan keperluan laporan Kelestarian Alam Sekitar oleh premis industri.
RUU Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2023 mungkin bukan satu perkembangan politik yang 'sensasi' justeru tidaklah menghairankan jika ianya tidak mendapat perhatian ramai pihak seperti pindaan berkaitan isu-isu lain.
Namun ia tetap mustahak dan besar manfaatnya kepada kita semua dalam melindungi alam sekitar dari ancaman pencemaran selain mewujudkan kesedaran awam akan kepentingan alam sekitar dalam kehidupan seharian kita.
Sudah tiba masanya semua pihak melihat usaha memperkasa aspek pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar sebagai satu tanggungjawab bersama dan diharap NRES akan terus cemerlang memimpin usaha tersebut demi kelestarian alam.