latest

Setelah Anyss Naik Ke Langit

“Yes, money is yours. But resources are ours.”

Itu balasan warga tempatan yang duduk di sebelah meja rakyat Malaysia, di sebuah restoran di Jerman, ketika menegur sisa hidangan masih banyak lagi (dan bakal terbuang begitu saja). Mempertahankan diri dengan alasan, ‘duit saya’, ‘saya yang bayar’, rakyat Jerman itu walau bagaimana pun tidak ragu-ragu menangkisnya dengan balasan di atas. Kisah ini diceritakan semula oleh pengacara Syed Munawar (menurut beliau, ini kisah benar rakannya) dan ia menyentak saya yang berada di hadapan skrin.

Malam itu, yang berlaku beberapa tahun lalu, secara tidak dirancang, telah turun ilham dari langit dan memasung saya selama satu jam menonton siaran langsung rancangan Landskap di saluran TV1.

Rancangan bual bicara kali itu menampilkan Prof. Dato’ Dr. Mazlin Mokhtar daripada Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) Universiti Kebangsaan Malaysia dan Prof. Dato’ Dr. Alias Abdullah daripada Kuliyyah Seni Bina dan Rekabentuk Alam Sekitar, Universiti Islam Antarabangsa. Turut berada di atas talian adalah Prof. Emeritus Dato’ Dr. Ibrahim Komo, Ketua Kluster Alam Sekitar Majlis Profesor Negara (MPN). Bertajuk “Kelestarian Agenda Perbandaran Baharu dan Alam Sekitar; Suatu Cabaran”, topik diskusi tentang perkara-perkara alam sekitar, khususnya ekosistem yang mana idea asasnya telah disemai di minda saya, lewat pemergian Profesor Anyss yang naik ke langit.

Kemurungan dua minggu. Itu telah berlaku kepada saya selepas menghabiskan dengan susah-payah sebuah buku nipis terbitan DuBook Press. Pengalaman mengunyah naskhah Faisal Tehrani dalam Bagaimana Anyss Naik ke Langit yang sangat pahit itu membingungkan. Dipaksa mendengar jeritan kaum Asal di Borneo – Penan, yang diwakili watak Ratu Sago menjadikan emosi hampir kebas kaku dan bisu selama empat belas hari. Fiksyen yang benar-benar mengocak emosi.

Pasca goncangan kuat terhadap sanubari itu mendorong saya menyelak semula lipatan sejarah pembinaan empangan berukuran Republik Singapura di Borneo, menelusuri isu pembalakan dalam negara dan pemindahan komuniti hutan yang akhirnya mempertemukan saya dengan pertubuhan bukan kerajaan yang bergerak dalam radius kediaman – Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA). KUASA ketika itu sedang memulakan kempen (dan kini masih lagi malah diperluaskan kepada kempen “Ladang Hutan Bukan Hutan”) menyelamatkan ekosistem di Segari, Perak. Saya telah diperkenalkan daripada sebesar-besar istilah seperti Matlamat Pembangunan Lestari, atau mudah dipanggil SDG (Sustainable Development Goals) berserta 17 matlamatnya, Penilaian Impak Alam Sekitar atau Environmental Impact Assessment (EIA), dan gerakan demokrasi alam sekitar, kepada istilah pasar seperti pembalakan ‘cuci mangkuk’. Tidak cukup dengan itu, menyedari bahawa ekosistem dan diversiti bukan latar belakang pendidikan, saya tekuni selama setengah tahun 356 halaman The Report of The World Commision on Dams, Dams and Development; A New Framework for Decision-Making, terbitan tahun 2000.

Pembangunan lestari, seperti yang ditekankan Prof. Alias, bukanlah urusan melindungi alam sekitar semata-mata, dan berdasarkan pengalaman melihat kerja-kerja di lapangan dijalankan, saya berpendapat ia benar. Menurut beliau, secara mudahnya ia merangkumi perancangan ekonomi yang baik, yang pada akhirnya semua mendapat manfaat dan dalam masa yang sama, kitaran penghasilan sumber-sumber asli, asas kepada ekonomi itu sendiri dapat dipertahankan untuk kegunaan generasi kemudian.

Aktiviti membangunkan negara – oleh manusia, tidak dapat lari daripada natijah pemusnahan ekosistem. Namun, apakah penyusutan hutan (deforestation), pencemaran air dan pelepasan karbon ini menyebabkan rakyat lebih sejahtera? Keseimbangan penting di sini. Jika segelintir rakyat sahaja yang menerima manfaat sedangkan sebahagian besar lagi sekadar mampu memandang dari kejauhan- atau lebih teruk, dipaksa menelan kesan bencana alam dan penyakit sosial yang menjahanamkan diri dan keluarga, dan situasi ini pula dilindungi statisik yang memperlihatkan angka-angka KDNK yang cemerlang, maka haruslah ada telinga yang sedia mendengar soalan – apakah ini sebenarnya membangunkan, atau meruntuhkan?

Bercakap dalam konteks memuji hasil tuaian pembangunan lestari di negara lain, panel-panel bijaksana malam itu, dalam usaha menyumbat agenda besar ini ke dalam waktu yang singkat hanya sempat berdiskusi sepusar isu ‘top down‘ dan ‘bottom up‘ – iaitu siapa, yang harus menyemai benih tanggungjawab ini? (Sayang sekali tidak ada sesi soal-jawab dengan penonton walaupun cara untuk menghubungi terpampang di kaca TV).

Demi cita-cita membawa negara mendaki SDG ke tangga 20 (terkini di tangga 55), pemikiran kolektif setiap warga amatlah diperlukan. Kita tidak dapat menafikan, kepimpinan politik – prinsip ‘top down‘ akan membantu banyak dalam usaha ini, yakni dilihat dari aspek besarnya peluang menyediakan dan memperkasakan polisi pembangunan lestari. Namun melihat telatah pihak pentadbiran sejak dahulu sehingga ke hari ini barangkali tidak salah untuk kita terima kenyataan bahawa negara ini, ternyata belum mempunyai ‘green-minded politicians‘.

Maka untuk melaksanakan impian, wujud persoalan selanjutnya tentang bagaimana ilmu pembangunan lestari daripada profesor-profesor yang berada di kayangan dapat ‘mencemar duli’ ke bumi – menemui rakyat akar umbi, dan tugas memperkasakan masyarakat ini menyokong kecenderungan diskusi prinsip ‘bottom up‘.

Pada akhirnya, proses membentuk pemikiran kolektif masyarakat kita ke arah pembangunan lestari, cermat dan menghargai sumber asli dan berani seperti contoh kisah rakyat Jerman di atas memerlukan strategi bertahap daripada segenap golongan. Selain menanggalkan ‘jubah cendekiawan’ untuk turun ke lapangan, berhenti daripada kemabukan angka-angka KDNK, sastera (dalam bentuk bacaan mahu pun tontonan) juga barangkali berkesan membantu, seperti yang berlaku sendiri kepada saya, yang menyertai rakan-rakan lain menyambung secebis daripada segunung tugasan yang ditinggalkan Profesor Anyss – sebelum diangkat naik ke langit dalam keadaan tragis.

Author image
Sedang dalam misi "planting green minded people" bersama Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA). Percaya bahawa Ladang Hutan Bukan Hutan. Juga seorang peguam.
You've successfully subscribed to Kapten Bumi
Great! Next, complete checkout for full access to Kapten Bumi
Welcome back! You've successfully signed in.
Unable to sign you in. Please try again.
Success! Your account is fully activated, you now have access to all content.
Error! Stripe checkout failed.
Success! Your billing info is updated.
Error! Billing info update failed.