Pada bahagian pertama artikel ini, saya telah mengupaskan tentang permulaan konsep taman-taman negeri Sabah serta peruntukan yang digunakan untuk melindungi khazanah warisan negeri ini.
Kita juga telah membicarakan empat taman terawal yang terdiri dari satu taman dataran dan tiga taman marin iaitu Taman Kinabalu (yang juga merupakan Tapak Warisan Dunia UNESCO), Taman Tunku Abdul Rahman, Taman Pulau-pulau Penyu dan Taman Pulau Tiga.
Seterusnya dalam bahagian kedua artikel ini kita akan mengupas lima lagi taman negeri yang telah diwartakan serta keistimewaan setiap satu darinya.
Taman Bukit-bukit Tawau
Taman Bukit-bukit Tawau adalah taman kelima di Sabah dan merupakan taman dataran kedua yang diwartakan oleh pihak kerajaan negeri. Diwartakan pada 7 Mei 1979, taman ini terletak 24 kilometer dari bandar Tawau.
Taman berkeluasan 27,972 hektar ini diwartakan bagi melindungi kawasan tadahan air untuk bandar Tawau dan Semenanjung Semporna. Terdapat sejumlah tujuh batang sungai yang berpunca dari dalam kawasan taman ini.
Selain melindungi kawasan tadahan air, Taman Bukit-bukit Tawau juga berperanan sebagai tempat perlindungan flora dan fauna antaranya 150 spesis orkid yang dicatatkan wujud di sini dan haiwan seperti ungka Borneo, langur merah dan pelbagai lagi. Dari sejumlah lapan spesis burung enggang yang terdapat di Borneo, enam darinya berada dalam kawasan taman Bukit-bukit Tawau.
Taman ini dinamakan sedemikian kerana bentuknya yang berbukit-bukau dengan tiga puncak tinggi iaitu Magdalena (1,310 meter), Lucia (!,201 meter) dan Bombalai (530 meter).
Taman Banjaran Crocker
Pada 11 Mac 1984, sebuah lagi taman dataran telah diwartakan iaitu Taman Banjaran Crocker yang terletak di bahagian barat negeri Sabah. Dengan panjang lebih kurang 75 kilometer dan lebar 15 kilometer, taman berkeluasan 139,919 hektar ini merupakan taman dataran terbesar negeri Sabah.
Satu kelebihan Taman Banjaran Crocker ialah ianya menempatkan Rizab Biosfera Banjaran Crocker yang merupakan sebahagian dari Program Manusia dan Biosfera yang dimulakan pada tahun 1970 oleh pihak UNESCO. Matlamat rizab ini ialah bagi menjadi tapak aktiviti ekonomi, pendidikan, saintifik, kebudayaan dan rekreasi untuk kegunaan manusia tanpa menjejaskan alam sekeliling dan kepelbagaian bio yang ada.
Taman ini juga turut mengandungi Fernarium dan Insecterium yang menempatkan pelbagai spesis paku-pakis dan serangga untuk tujuan penyelidikan dan pendidikan.
Taman Marin Tun Sakaran
Terletak di Teluk Darvel berdekatan Semporna, Taman Marin Tun Sakaran diwartakan pada 22 Julai 2004. Ia merupakan taman marin terbesar Sabah dengan keluasan 340 kilometer persegi lautan dan terumbu karang serta 10 kilometer persegi daratan pulau.
Terdapat sejumlah lapan buah pulau di dalam kawasan taman ini dengan antara yang paling popular ialah Bohey Dulang. Taman Marin Tun Sakaran merupakan destinasi skuba yang popular. Satu penyelidikan yang pernah dibuat sebelum ini mendapati kekayaan hidupan marin di taman ini adalah setara dengan yang terdapat di Terumbu Sawar Besar di Australia.
Salah satu keunikan taman ini ialah kewujudan komuniti Bajau Laut yang hidup di atas perahu atau sampan secara nomad di dalam kawasan taman marin ini.
Taman Pulau Sipadan
Nama Pulau Sipadan adalah satu nama yang cukup dikenali ramai sebagai satu destinasi pelancongan utama Sabah selain Gunung Kinabalu. Pada 5 November 2009, kerajaan negeri Sabah telah mengambil inisiatif mewartakan Pulau Sipadan sebagai sebuah taman marin bagi melindungi khazanah alam ini.
Pulau Sipadan sebenarnya adalah satu-satunya pulau lautan di Malaysia. Ia bermakna pulau ini tidak terletak di atas pentas benua tetapi sebaliknya merupakan sebuah pulau yang terbentuk dari dasar laut dengan ketinggian 600 meter dari dasar laut.
Terdapat lebih 400 spesis marin dan ratusan spesis karang dicatatkan wujud di taman ini. Sipadan telah diiktiraf sebagai salah satu destinasi selam skuba terbaik dunia justeru langkah mewartakan ia sebagai taman negeri adalah satu langkah yang wajar.
Taman Tun Mustapha
Taman negeri Sabah yang kesembilan dan terkini diwartakan ialah Taman Tun Mustapha, sebuah taman marin yang terletak di utara Sabah merentasi daerah Kudat, Kota Marudu dan Pitas.
Taman yang diwartakan pada 19 Mei 2016 ini berkeluasan 898,763 hektar. Dengan keluasan tersebut ia menjadikan taman ini sebagai taman marin pelbagai guna terbesar di Malaysia.
Kepentingan melindungi ekosistem marin yang penting di kawasan yang dikatakan mempunyai kekayaan flora dan fauna maritim paling banyak di dunia membuatkan Taman Tun Mustapha sebagai salah satu taman negeri yang penting. Pada masa sama kewujudan taman ini juga diharap dapat membantu menjana ekonomi lebih 80 ribu penduduk di sepanjang pesisir laut taman ini.
Penutup
Kewujudan taman-taman negeri Sabah sebenarnya merupakan satu inisiatif yang baik dalam melindungi khazanah alam sekitar Negeri Di Bawah Bayu dan pada masa sama sebagai tarikan pelancongan eko dan sumber pendapatan ekonomi untuk negeri.
Sabah terkenal sebagai sebuah negeri destinasi pelancongan yang menawarkan tarikan daratan dan marin pelbagai yang mungkin tidak terdapat di negeri-negeri lain di Malaysia.
Pada masa sama, tarikan semulajadi ini sebenarnya adalah unik dan luar biasa justeru satu usaha melindungi dan memulihara perlu dijalankan bagi menjaga kemurniannya.
Justeru kewujudan sembilan taman-taman negeri Sabah adalah perlu dan tidak mustahil juga beberapa kawasan lain boleh dinilai dan diwartakan sebagai taman-taman negeri yang seterusnya seperti Lembah Danum, Lembangan Maliau dan Kepulauan Sugud.