Tahukah anda selain Taman Negara di Malaya yang meliputi negeri Pahang, Kelantan dan Terengganu, negeri-negeri lain juga mempunyai taman-taman negeri mereka sendiri yang diuruskan oleh kerajaan negeri.
Ini termasuklah Sabah, Negeri di Bawah Bayu yang sangat sinonim dengan pelancongan eko dan keindahan alam semulajadi yang memukau para pengunjung.
Di Sabah terdapat sejumlah sembilan taman-taman negeri yang setiap satu darinya memberikan keunikan tersendiri. Tiga dari taman tersebut adalah taman dataran manakala enam taman lain merupakan taman marin.
Taman-taman negeri Sabah terletak di bawah tanggungjawab Lembaga Pemegang Amanah Taman Sabah. Taman-taman ini diwartakan di bawah Enakmen Taman 1984 yang menyelaraskan pengurusan dan pentadbiran taman-taman selain dari memperincikan sempadan kesemua taman.
Di bawah enakmen tersebut juga, lokasi dan keluasan setiap taman dinyatakan dengan jelas selain pajakan selama 999 tahun diletakkan di bawah Lembaga Pemegang Amanah Taman Sabah.
Taman Sabah yang pertama adalah Taman Kinabalu, sejenis taman dataran yang diasaskan pada 16 Januari 1964. Ia kemudian diikuti dengan taman marin iaitu Taman Tunku Abdul Rahman yang diasaskan pada 25 Julai 1974. Dari tahun 1977 hingga 2016 sejumlah tujuh lagi taman lain diasaskan sebagai usaha melindungi warisan alam semulajadi negeri yang sangat bernilai.
Berikut merupakan kesemua sembilan taman-taman negeri Sabah dan ringkasan perinciannya untuk pengetahuan kita semua.
Taman Kinabalu
Tidak lengkap rasanya jika kita menyebut mengenai Sabah tanpa merujuk kepada Kinabalu yang merupakan gunung tertinggi di Malaysia dan simbol ikonik negeri Sabah.
Taman Kinabalu adalah taman Sabah yang pertama diwartakan dengan keluasan 754 kilometer persegi. Ia juga merupakan Tapak Warisan Dunia UNESCO sejak tahun 2000, menjadikan Taman Kinabalu sebagai satu tarikan antarabangsa.
Gunung Kinabalu dengan ketinggian 4,095.2 meter dari aras laut merupakan tarikan utama Taman Kinabalu yang menarik kehadiran para pendaki setiap tahun. Segelintir pendaki juga berkunjung ke Taman Kinabalu untuk mendaki Gunung Tambuyukon yang merupakan gunung ketiga tertinggi di Malaysia.
Selain itu Taman Kinabalu juga menawarkan kepelbagaian spesis flora dan fauna dan tarikan lain seperti Kolam Air Panas Poring, laluan kanopi dan iklim sejuk tanah tinggi.
Taman Tunku Abdul Rahman
Taman Tunku Abdul Rahman adalah sebuah taman marin yang merupakan taman negeri kedua diwartakan oleh kerajaan negeri Sabah.
Keunikan Taman Tunku Abdul Rahman ialah lokasinya yang terletak hanya 3 kilometer dari pesisiran laut Kota Kinabalu. Taman marin seluas 50 kilometer persegi ini meliputi lima buah pulau iaitu Gaya, Manukan, Mamutik, Sapi dan Sulug. Kesemua lima pulau ini asalnya adalah sebahagian dari Banjaran Crocker (yang turut menempatkan Gunung Kinabalu) tetapi peningkatan paras laut telah memisahkan lima pulau ini pulau Borneo.
Taman Marin Tunku Abdul Rahman menjadi pilihan pengunjung yang ingin menjalankan aktiviti laut seperti snorkelling atau selam skuba kerana letaknya yang berdekatan dengan Kota Kinabalu. Kewujudan taman marin ini memberi perlindungan kepada flora, fauna dan ekosistem marin di kesemua lima pulau tersebut.
Taman Pulau-pulau Penyu
Taman Sabah yang kedua diwartakan adalah sebuah lagi taman marin iaitu Taman Pulau Penyu, diwartakan pada 1 Oktober 1977. Taman marin ini dinamakan sedemikian kerana tiga buah pulau dalam taman ini iaitu Selingan, Gulisan dan Bakungan Kechil merupakan tempat pendaratan dua spesis penyu iaitu penyu karah dan penyu hijau.
Taman ini terletak di bahagian timur Sabah pada jarak 40 kilometer utara Sandakan. Keluasan Taman Pulau-pulau Penyu adalah 1,740 hektar.
Selain berperanan sebagai kawasan perlindungan habitat penyu karah dan hijau, taman ini juga merupakan tumpuan pelancongan eko terutamanya untuk aktiviti laut seperti renang, snorkelling dan selam skuba. Warna air laut yang pirus dan jernih serta kewujudan terumbu karang menjadi tarikan utama taman ini selain dari penyu.
Taman Pulau Tiga
Taman Pulau Tiga adalah satu lagi taman marin yang juga merupakan taman keempat diwartakan pada 28 Jun 1978. Taman ini terletak di utara Kuala Penyu yang berada di bahagian semenanjung Klias, Sabah.
Terdiri dari tiga pulau iaitu Pulau Tiga, Pulau Kalampunian Besar dan Pulau Kalampunian Damit, taman ini berkeluasan 158 kilometer persegi. Ia turut dikenali sebagai Survivor Islands bersempena nama sebuah siri televisyen yang pernah difilemkan di sini pada tahun 1996.
Taman marin ini juga merupakan tumpuan penyelam skuba dan snorkelling dek kerana keindahan terumbu karangnya. Ia juga mempunyai kolam lumpur gunung berapi selain Pulau Kalampunian Damit yang juga diberi jolokan pulau ular kerana menjadi tumpuan ribuan ular laut untuk mengawan dan bertelur.
(Bersambung di bahagian kedua artikel)