latest

Tentang Tanah Lembap Yang Kita Leka

Pasti ramai yang tidak tahu, tetapi tanggal 2 Februari lalu merupakan Hari Tanah Lembap Sedunia atau World Wetlands Day.

Tarikh 2 Februari dipilih bersempena Konvensyen Ramsar yang pertama di Ramsar, Iran pada 2 Februari 1971. Konvensyen Ramsar ialah suatu perjanjian antarabangsa yang telah ditandatangani di antara negara-negara sebagai rangka kerja memulihara tanah lembap dan potensi alam semula jadinya.

Malaysia sebagai sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian biodiversiti telah menyertai Konvensyen Ramsar pada 10 Mac 1995 dan sejak dari itu kita jugai meraikan Hari Tanah Lembap Sedunia setiap tahun bagi mewujudkan kesedaran tentang kepentingan tanah lembap.

Tanah Lembap Di Malaysia

Di Malaysia, istilah tanah lembap meliputi kawasan tanah gambut, paya bakau, sungai, tasik dan pesisiran pantai yang menjadi habitat kepada kepelbagaian spesies flora dan fauna terutamanya burung air yang bermigrasi.

Ada tujuh tapak Ramsar yang didaftarkan di Malaysia iaitu Tasek Bera di Pahang; Tanjung Piai, Pulau Kukup dan Sungai Pulai di Johor; Kuching Wetland National Park, Sarawak; Lower Kinabatangan-Segama Wetlands dan Kota Kinabalu Wetlands di Sabah.

Tapak-tapak ini dilindungi di bawah undang-undang perhutanan, taman negeri dan tanah sama ada sebagai hutan simpanan kekal, taman negeri atau kawasan perlindungan tanah lembap.

Pentingnya Tanah Lembap

Tanah lembap adalah kawasan tumpuan biodiversiti yang memberikan habitat kepada pelbagai flora dan fauna dengan ekosistem biologi yang unik dan pelbagai. Tanah lembap menempatkan sejumlah spesis amfibia, ikan, mamalia dan unggas termasuklah burung yang berhijrah mengikut musim.

Selain itu tanah lembap juga berfungsi sebagai penapis air semulajadi yang memastikan bahan tercemar diasingkan dari sumber air bagi mewujudkan air berkualiti untuk manusia dan hidupan liar. Ia juga membantu dalam mitigasi banjir, perlindungan dari bencana ribut atau juga ancaman tsunami khususnya bila melibatkan hutan paya bakau di pesisiran.

Tanah lembap juga berperanan dalam mengawal selia iklim dengan cara penyerapan karbon dioksida dan gas rumah hijau lainnya, selain dari menjadi benteng pengawal hakisan bagi mewujudkan habitat pesisiran yang selamat.

Satu lagi kepentingan tanah lembap yang mungkin tidak kita sedari ialah fungsinya sebagai pusat pendidikan dan penyelidikan. Kepelbagaian biodiversiti yang ada berserta dengan kewujudan ekosistem yang unik memberikan peluang untuk kita mendidik diri dengan kepentingan serta fungsi tanah lembap.

Ia juga berperanan sebagai makmal semulajadi untuk penyelidik melakukan kajian berkaitan ekologi tanah lembap, hidrologi, biologi hidupan liar dan sains alam sekitar, selain sebagai penanda aras untuk kualiti air, tanah dan udara.

Masa Depan Tanah Lembap

Kerajaan Malaysia komited dalam melindungi dan memulihara tanah lembap di Malaysia, merangkumi tasik, sungai, tanah gambut, paya bakau dan kawasan pesisiran pantai selaras dengan penglibatan negara sebagai anggota Konvensyen Ramsar.

Kerjasama dengan organisasi antarabangsa, baik di dalam Konvensyen Ramsar atau di luarnya adalah satu usaha berterusan bagi memastikan kelestarian tanah lembap di Malaysia selain mewujudkan peruntukan perundangan dan kerangka polisi bagi melindungi dan memulihara kawasan tanah lembap.

Usaha-usaha berterusan juga perlu dibuat bagi memberikan pendidikan lebih meluas kepada masyarakat tentang kepentingan kawasan tanah lembap serta peranan ekologi yang dimainkan. Penglibatan pelajar sekolah atau siswa universiti, badan korporat atau jabatan kerajaan dalam pengurusan tanah lembap perlu dipergiatkan bagi mewujudkan kesedaran umum.

Usaha juga perlu ada dibuat agar lebih banyak tapak Ramsar dapat diwujudkan di Malaysia demi memastikan bilangan tanah lembap yang ada tidak berkurangan sebaliknya boleh diperluaskan lagi ke seluruh pelosok negara.

Akhir sekali, kerajaan perlulah bersikap pemurah untuk mewujudkan insentif dan sokongan kewangan kepada usaha-usaha konservasi tanah lembap yang dilakukan oleh pemilik tanah, syarikat ataupun komuniti setempat.

Kita tidak boleh leka tentang tanah lembap atau berdepan risiko kemerosotan kualiti alam.

Author image
Adleen Arleena seorang penyelidik di sebuah agensi sosial serantau. Liberal, demokrat dan sekularis.
You've successfully subscribed to Kapten Bumi
Great! Next, complete checkout for full access to Kapten Bumi
Welcome back! You've successfully signed in.
Unable to sign you in. Please try again.
Success! Your account is fully activated, you now have access to all content.
Error! Stripe checkout failed.
Success! Your billing info is updated.
Error! Billing info update failed.