latest

Usaha Kelestarian Jelajah Dunia Coldplay

Awal Februari yang lalu, Coldplay telah mengumumkan keberhasilan jelajah dunia mereka. Setakat Februari, jelajah bagi mempromosikan album Music of The Spheres telah berjaya menarik 7.6 juta penonton dan peminat setia mereka di 132 konsert. Jelajah ini bermula sejak 18 Mac 2022 di Stadium Nasional La Sabana, Costa Rica dan dijangka hanya akan berakhir pada 16 November 2024 di Eden Park, New Zealand. Secara keseluruhan, jelajah dunia Music of the Spheres ini akan berakhir dengan penganjuran sebanyak 176 konsert.

Membezakan Coldplay sebagai kumpulan muzik gergasi dunia daripada mana-mana artis yang lain adalah pada keazaman mereka terhadap penganjuran konsert yang lebih lestari. Kemasyhuran dan wang ringgit mungkin adalah segala-galanya bagi kumpulan muzik bertaraf superband, namun tidak untuk Coldplay.

Bayangkan, kumpulan muzik ini langsung tidak menjelajah dunia sewaktu mempromosikan album mereka sebelum ini iaitu Everyday Life. Ini kerana, mereka mahu lebih fokus bagi mencari langkah untuk menjelajah dunia dengan meninggalkan kesan karbon yang lebih rendah dan menganjurkan konsert yang lestari untuk alam sekitar.

Tidak hanya sekadar gimik, Coldplay mengumumkan akan berusaha mengurangkan 50 peratus kesan karbon mereka bagi jelajah ini, berbanding jelajah A Head Full of Dreams. Dan hasilnya telahpun terbukti dengan kejayaan penganjuran jelajah dunia Music of the Spheres ini.

Tindakan Coldplay ini menjadikan mereka sebagai perintis kepada industri hiburan di seluruh dunia dengan mematuhi elemen-elemen berasaskan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Langkah-langkah Drastik Coldplay

Persembahan muzik dan konsert di seluruh dunia menjana perlepasan gas rumah kaca sehingga 405,000 tan saban tahun menurut laporan Tyndall Centre for Climate Research. Maka, Coldplay mahu menjadi pelopor kepada jelajah dunia yang mampan dan mengurangkan impak terhadap pemanasan global.

Coldplay bermula dengan melantik firma perunding khas, Hope Solutions untuk mencari jalan penyelesaian yang drastik. Firma tersebut merupakan salah sebuah firma perunding kemampanan terkemuka di United Kingdom yang telah lama memperjuangkan perubahan di dalam elemen berasaskan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG). Selain itu juga, Coldplay bekerjasama dengan Green Nation, sebuah platform kemampanan di bawah Live Nation.

Elemen penting yang mahu diusahakan oleh Coldplay ialah mengurangkan penggunaan kenderaan, mengusahakan kitar semula dan mengurangkan perlepasan gas karbon dioksida. Selain itu juga, Coldplay mengetengahkan penggunaan tenaga hijau seperti bateri cas semula dan penjanaan tenaga kinetik melalui lantai tarian dan basikal statik yang dijana oleh aktiviti peminat mereka sendiri.

Setiap tapak konsert juga dipasang dengan panel fotovoltaik solar yang dapat menjana tenaga solar. Melalui kerjasama dengan BMW, Coldplay menghasilkan bateri cas pertama di dunia yang dapat menjana tenaga 100 peratus untuk konsert mereka. Bateri tersebut dihasilkan daripada bateri BMW i3 yang dikitar semula.

Tidak terhenti di situ, Coldplay bekerjasama dengan DHL bagi mengusahakan pengangkutan yang lebih cekap dan mesra alam. Diesel yang digunakan oleh lori pengangkut menggunakan diesel yang dikitar semula oleh syarikat Neste. Diesel tersebut juga digunakan bagi menjana elektrik di pentas-pentas konsert mereka. Selain itu, Neste juga menyediakan bahan api penerbangan mampan yang dapat mengurangkan perlepasan jejak karbon.

Kerja Keras Yang Berhasil

Tidak hanya data-data dan dapatan di atas kertas, usaha Coldplay ini kemudiannya dikumpul dan dianalisa oleh pasukan khas daripada MIT Environmental Solutions Initiative. Pasukan bebas ini diketuai oleh Profesor John E. Fernandez dan laporan hasil kerja keras Coldplay ini amat memberangsangkan.

Selepas 12 bulan jelajah dunia Music of the Spheres dianjurkan, Coldplay berjaya mengurangkan jejak karbon sebanyak 47 peratus. Data ini telahpun dibandingkan dengan laporan data jelajah A Head Full of Dreams mereka sebelum ini.

Biarpun tidak mencapai 50 peratus yang dimahukan oleh Coldplay, namun kerja keras ini dipuji oleh Profesor Fernandez. Menurut beliau , MIT menyokong sepenuhnya usaha ini sebagai sangat penting, teliti dari segi saintifik dan berkualiti tinggi.

Coldplay juga mengumumkan azam mereka untuk menanam sepohon pokok bagi setiap keping tiket yang terjual bagi jelajah ini. Ini bermaksud, sebanyak 7.6 juta pokok bakal ditanam oleh Coldplay bagi penganjuran jelajah dunia Music of the Spheres setakat ini.

Untuk baki konsert yang seterusnya pula, Coldplay akan mula menjalankan keseluruhan persembahan iaitu sistem audio, lampu dan pencahayaan laser daripada sistem bateri elektrik. Ini bakal membolehkan Coldplay menggunakan 100 peratus tenaga boleh diperbaharui dengan lebih efisien.

Selain itu juga, Coldplay berazam untuk menggunakan kenderaan elektrik dan bahan api alternatif semaksima mungkin serta mengurangkan penggunaan sisa dan plastik ke tahap paling minimum.

You've successfully subscribed to Kapten Bumi
Great! Next, complete checkout for full access to Kapten Bumi
Welcome back! You've successfully signed in.
Unable to sign you in. Please try again.
Success! Your account is fully activated, you now have access to all content.
Error! Stripe checkout failed.
Success! Your billing info is updated.
Error! Billing info update failed.